Pelancong Jerman pilih tinggal di Taman Negara hingga tamat PKP
JERANTUT - Kunjungan kali kedua ke Taman Negara selepas 10 tahun lalu menjadi momen indah kepada seorang ahli perniagaan dari Jerman,Thomas Harry, 54.
Harry kini satu-satunya pelancong asing yang memilih untuk berada di pusat pelancongan terkenal itu dan berhasrat tinggal di situ sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dia yang tiba di sini pada 16 Mac lalu iaitu dua hari sebelum pelaksanaan PKP mengakui selesa menghabiskan masa menikmati keindahan flora dan fauna walaupun perancangan asalnya pergi ke Kuala Tahan selama tiga minggu.
"Terima kasih kepada semua pihak dan kerajaan negeri yang turut membantu selama saya di sini," katanya yang tinggal di Greenland Guesthouse.
Pemilik Greenland Guesthouse, Afzal Abdul Aziz memberitahu, pelancong itu yang juga seorang vegetarian tidak cerewet dan mudah memberikan kerjasama.
"Dia juga mudah mesra dan faham dengan kesulitan yang dihadapi sepanjang tempoh PKP. Harry hanya menghabiskan masa dengan senaman yoga selain kerap menghubungi ahli keluarganya," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahmam berkata, hanya Harry yang membuat keputusan kekal di sini selepas pelancong negara lain dibawa keluar dan pulang ke negara masing-masing sebelum Taman Negara ditutup.
Jelasnya, pelancong itu memiliki simpanan wang mata negaranya dan Yen namun tidak boleh keluar ke bandar untuk membuat tukaran wang untuk perbelanjaannya.
"Atas dasar kemanusiaan, kita menjaga kebajikannya dan maklumat mengenainya sudah dalam pengetahuan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), pejabat daerah dan pihak polis," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelancong Jerman terkandas dapat bantuan makanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!