Dua pemilik kedai runcit dikompaun gagal pamer tanda harga

Anggota KPDNHEP Kuala Lumpur mengambil tindakan ke atas salah sebuah kedai runcit kerana gagal meletakkan tanda harga bagi barangan minyak masak dan telur ayam.
Anggota KPDNHEP Kuala Lumpur mengambil tindakan ke atas salah sebuah kedai runcit kerana gagal meletakkan tanda harga bagi barangan minyak masak dan telur ayam.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Dua pemilik kedai runcit di Pudu dikompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, kesalahan itu dikesan semasa pemeriksaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua kedai terbabit gagal meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual iaitu minyak masak dan telur ayam.

"Akibatnya, dua peniaga terbabit dikompaun masing-masing RM2,000 dan RM1,000 di bawah Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kompaun tinggi dikenakan kerana terdapat peniaga gagal mematuhi undang-undang walaupun sentiasa diberi peringatan dan amaran. Ia sebagai peringatan kepada peniaga lain supaya mempamerkan tanda harga dan tidak mengambil kesempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Artikel Berkaitan:


Mengulas lanjut, katanya, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,227 premis sepanjang PKP dengan keseluruhan tujuh kes dan nilai kompaun RM3,600.

Katanya, pihaknya akan terus membuat pemeriksaan di premis perniagaan dan peniaga diingatkan supaya tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan.

"KPDNHEP memberi amaran keras dan peringatan agar patuh undang-undang. Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Kementerian ini melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) Putrajaya 03-8882 6245 / 6088 dan WhatsApp ke 019-279 4317," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!