Padah lari sekatan jalan raya
KUALA LUMPUR – Cubaan dua pemuda melarikan diri gagal, apabila mereka ditahan oleh anggota polis atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jumaat lalu.
Tertuduh, B Devaraj dan Mohammad Irwan Rosli didenda masing-masing RM1,000 dan RM 2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara masing-masing tiga dan dua minggu, sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melarikan diri dari pemeriksaan polis dengan menunggang motosikal.
Devaraj melakukan kesalahan itu di Jalan Sri Sentosa 8, pada jam 12.01 tengah malam manakala Mohammad Irwan di kawasan sekitar pada jam 12.30 tengah malam.
Dalam pada itu, seramai 23 individu lain dihadapkan ke mahkamah berasingan, di sini kerana melanggar PKP dan ada yang kenakan hukuman penjara dan denda.
Seramai 12 daripadanya didenda RM1,000 atau tiga minggu penjara selepas mengaku bersalah ingkar PKP di sekatan jalan raya dan rondaan Covid19 di Jalan Batu 5 Lebuh Raya Besraya Cheras; Jalan Pasar Kecil; Taman Permainan Apartment Sri Shamelin serta Kawasan Perindustrian OUG antara jam 9.45 malam bermula 9 April hingga 1 tengah malam, 18 April lalu.
Sementara sembilan yang lain didenda RM800 atau dua minggu penjara selepas mengaku bersalah ingkar PKP di Batu 5, Jalan Ipoh; sekatan jalan raya Lebuh Raya Besraya Sungai Besi; Jalan Tiong Nam Off Jalan Raja Laut; Taman Permainan Apartment Sri Shamelin; sekatan jalan raya Bangunan Yayasan Buddist Taiwan; sekatan jalan raya Batu 5 Jalan Klang Lama; In Time Hotel Kuchai; sekatan jalan raya Jalan 2/149 Sri Petaling KL dan SJR Jalan Travers.
Kesalahan dilakukan antara jam 9.50 malam, 2 April hingga 8.55 malam, 19 April lalu.
Dalam pada itu, dua pemuda didakwa gagal memberikan alasan yang munasabah semasa polis membuat rondaan Covid-19, di Jalan Tiong Nam Off Jalan Raja Laut dan SJR di Taman Segar di hadapan Eko Mall Cheras.
Tertuduh, Teuku Ahmad Haikal didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.25 malam 14 April lalu dan dihukum dua bulan penjara dari tarikh tangkap.
Sementara Muhammad Farhan Hendra Syamsir didakwa melakukan kesalahan sama pada jam 7 malam, 17 April lalu dan dihukum 14 hari penjara dari tarikh tangkap.
Kesemua tertuduh berusia antara 20 hingga 41 tahun itu, didakwa melakukan kesalahan dan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebahagian daripadanya didakwa mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut peraturan 11 (1) peraturan sama, memperuntukkan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!