Trump 'double standard'
WASHINGTON - Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR) mengecam kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan menuduh ketua Republikan itu menyebarkan kebencian terhadap komuniti Muslim.
Semalam, Trump secara sinis menyeru masyarakat Islam Amerika supaya mengamalkan penjarakkan sosial sepanjang bulan Ramadan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
Menurut CAIR, kenyataan Trump itu tidak menggambarkan ketegasannya dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 kerana beliau sebelum ini mengambil pendekatan berdiam diri ketika penganut Kristian cenderung membelakangi peraturan kesihatan awam semasa perayaan Hari Easter.
Lebih teruk lagi, Trump hanya menzahirkan rasa simpati kepada rakyat AS yang mendesak perintah berkurung atau 'lockdown' ditarik balik kerana langkah itu kononnya 'memusnahkan' rutin kehidupan harian mereka.
"Kenyataan Trump berat sebelah dan tidak adil. Ia juga satu penghinaan apabila membuat andaian kes jangkitan mungkin menurun jika komuniti Muslim mengikut nasihatnya.
"Beliau juga membuat tuduhan tidak berasas apabila menuduh masjid diberi layanan istimewa sepanjang Ramadan sedangkan serangan ke atas rumah ibadat Islam meningkat saban tahun.
"Trump sepatutnya berhenti menyalahkan pihak lain dan menumpukan usaha memerangi virus," kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.
Tambah Nihad, Trump tidak perlu bimbang kerana CAIR bersama pertubuhan serta pakar perubatan Muslim sudah mendesak penangguhan solat berjemaah dan perhimpunan lain sepanjang Ramadan.
Setakat semalam, AS masih kekal negara paling terjejas di dunia dengan 759,786 kes dan 40,683 kematian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!