Bincanglah dulu sebelum buat kenyataan rasmi
WABAK Covid-19 terus merebak dengan ganas tanpa disekat. Sehingga hari ini, masih belum ada vaksin berjaya ditemui dan akibatnya, seluruh dunia hanya mampu melihat semakin banyak nyawa melayang setiap hari.
Di negara kita, ketika Covid-19 mula menular pada bulan lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudahpun mengambil langkah pencegahan yang rapi. Kejayaan KKM dalam menangani Covid-19 telah menerima pujian di peringkat antarabangsa.
Malangnya, usaha cemerlang KKM gagal dijejaki oleh menteri-menteri Kabinet kita. Antaranya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyarankan rakyat Malaysia untuk minum air panas atau suam bagi mengelakkan jangkitan Covid-19. Kenyataannya itu terus menjadi bualan hangat di media sosial.
Begitu juga dalam isu kebenaran membuka bazar Ramadan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa adalah antara menteri yang beria-ia mahu membenarkan e-Bazar dibenarkan beroperasi.
Kesungguhan Annuar akhirnya digagalkan. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memutuskan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil adalah tidak dibenarkan.
Dalam isu kedai gunting rambut, salon dan kedai cermin mata pun sama. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini membenarkan beberapa sektor ekonomi termasuk kedai gunting rambut dan kedai cermin mata beroperasi tetapi arahan itu terpaksa U-Turn dan ditarik balik.
Apakah sesama menteri Kabinet tidak pernah berbincang sebelum membuat pengumuman secara rasmi? Komunikasi sesama menteri amat penting. Kita sudah semakin bosan apabila ada sahaja kenyataan dibuat hari ini, pada keesokan harinya ditarik balik. Ia tidak bagus untuk persepsi orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!