Antara kepentingan politik dan kepakaran individu
KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan bahawa semua ahli Parlimen kerajaan Persekutuan yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan diberi kedudukan sebagai pengerusi agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) amat mengejutkan.
Dalam sejarah Malaysia, lantikan politik kepada semua ahli Parlimen kerajaan untuk diberi tanggungjawab mengendalikan GLC memang pernah terjadi tetapi inilah pertama kali ia berlaku secara berleluasa dan tidak terkawal. Ia memang pernah terjadi pada masa lepas tetapi tidaklah seteruk sekarang.
Apakah ini bermakna kepentingan politik parti dan untuk membayar kesetiaan telah mengatasi kepakaran individu? Tidak keterlaluan jika dikatakan dengan meletakkan ahli-ahli Parlimen kerajaan mengetuai GLC tidak jauh bezanya dengan ‘suapan politik’.
Kita perlu menerima hakikat bukan semua ahli Parlimen terdiri daripada manusia yang serba boleh dalam pelbagai bidang.
Mereka yang memenangi pilihan raya dan layak menjadi ahli Parlimen tidak semestinya berupaya mengendalikan syarikat, agensi yang besar atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dunia politik dan perniagaan adalah dua bidang yang berbeza. Oleh itu, adalah lebih baik ahli Parlimen menumpukan perhatian pada masalah pengundi di kawasan Parlimennya dan pentadbiran kerajaan manakala tugas mengendalikan GLC diberikan kepada tokoh-tokoh korporat (termasuk juga beberapa tokoh politik) yang berpengalaman dan berkebolehan dalam dunia perniagaan.
Sebelum ini, kita sudah mendapat tahu terdapat beberapa syarikat GLC mengalami kerugian yang banyak apabila berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa ketika dipimpin oleh ahli politik.
Kita perlu sedar bahawa syarikat-syarikat GLC bukanlah syarikat biasa, sebaliknya adalah syarikat-syarikat yang mampu memacu dan menjana pendapatan negara. Ia adalah syarikat milik rakyat negara ini. Ia bukan syarikat untuk ahli politik.
Sekiranya sesebuah syarikat GLC gagal menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, sudah tentu ia akan membawa imej yang kurang elok kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!