Covid-19: Hospital Gleneagles Kota Kinabalu catat kes pertama
KOTA KINABALU - Hospital Gleneagles Kota Kinabalu di sini mencatat kes pertama koronavirus (Covid-19) selepas seorang pesakitnya diuji positif dijangkiti virus itu.
Menurut kenyataan hospital hari ini, seorang wanita rakyat Malaysia berusia 55 tahun telah dimasukkan bagi menjalani satu prosedur kecemasan.
Kenyataan itu menyebut bahawa susulan protokol terkini Covid-19 bagi Hospital Gleneagles Kota Kinabalu yang mengkehendaki ujian Covid-19 dijalankan bagi semua prosedur, sampel pesakit itu telah diambil sebelum beliau menjalani pembedahan.
“Oleh kerana terdapat keperluan mendesak untuk melakukan pembedahan ke atas pesakit itu, pihak hospital telah meneruskannya dengan meletakkan beliau sebagai kes yang disyaki sementara menunggu keputusan ujian bagi Covid-19.
“Keputusan ujian Covid-19 pesakit itu didapati positif pada 17 April dan beliau segera dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk pengesahan serta rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, memandangkan Hospital Gleneagles Kota Kinabalu telah merawat pesakit tersebut sebagai kes Covid-19 yang disyaki, langkah-langkah keselamatan telah dilaksanakan semasa menangani pesakit terbabit dari awal lagi.
Semua kawasan terjejas telah ditutup bagi penyahjangkitan terminal selaras dengan garis panduan kawalan jangkitan dan semua staf yang mempunyai kontak dengan pesakit itu telah dikesan dan diletakkan di bawah kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan garis panduan Pejabat Kesihatan Daerah dan ujian Covid-19 dijalankan ke atas mereka.
Hospital Gleneagles Kota Kinabalu turut mematuhi proses dan dasar kawalan jangkitan selain mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang meluas bagi menjaga keselamatan staf serta pesakitnya, dan akan terus berbuat demikian selain menguruskan kes dengan segera dan betul selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.
Kenyataan itu menyebut perkhidmatan klinikal di hospital tersebut tidak terjejas dan pesakit boleh meneruskan pelan penjagaan sedia ada mereka di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu kerana mereka berada dalam persekitaran yang selamat.
Sejak Januari tahun ini, Hospital Gleneagles Kota Kinabalu telah mengamalkan pelbagai langkah pencegahan termasuk mengehadkan kemasukan ke hospital itu dan memeriksa suhu badan serta gejala semua orang yang datang ke hospital tersebut, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!