Selamat hari lahir, hero Malaysia...

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Barangkali tahun inilah sambutan hari lahir paling meriah dan bermakna bagi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Meskipun tarikh kelahiran sebenar beliau adalah 21 April iaitu hari ini, namun ramai yang memilih untuk memberi ucapan lebih awal kepada figura yang mula mencuri tumpuan ramai selepas tercetusnya pandemik koronavirus (Covid-19) di Malaysia.

Buktinya ruangan komen di semua status Facebook yang dimuat naik beliau sejak petang semalam sudah mula dibanjiri dengan ucapan selamat hari lahir.

Perkongsian gambar pra pelancaran aplikasi MySejahtera bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar oleh Dr Noor Hisham lewat malam tadi antara paling banyak mendapat tanda suka dan komen.

Pengguna akaun Facebook dikenali sebagai Owen Ting mengucapkan selamat hari lahir kepada Dr Noor Hisham yang digambarkan sebagai hero negara.

"Happy birthday Malaysia hero," tulisnya.

Gelaran sama turut diberikan seorang lagi pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Thirah Kocci.

"Selamat ulang tahun kelahiran Datuk Dr Noor Hisham superhero Malaysia. Semoga sentiasa berada dalam kesihatan yang baik. Stay strong, stay safe Dr," tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pengguna Facebook yang dikenali sebagai Naresh Gunaseharan berkata, Malaysia sangat bertuah memiliki Dr Noor Hisham dan pasukannya.

"Happy Birthday dear Dr. Noor Hisham. We Malaysians are blessed and proud to have you and your team with us," tulisnya.

Setakat jam 7 pagi tadi, status dikongsi pakar bedah yang turut dilabel sebagai manusia paling popular di Malaysia ketika ini mendapat lebih 9,000 tanda suka dan lebih 1,000 komen.

Berdasarkan komen yang ditinggalkan itu, jelaslah Dr Noor Hisham yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 hari ini menjadi kesayangan netizen dan begitu disenangi rakyat berbilang kaum.

Minggu lalu, Dr Noor Hisham sekali lagi menjadi tumpuan apabila beliau dinamakan antara tiga doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) atas kewibawaan beliau tangani krisis Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Noor Hisham antara tiga doktor terbaik, diyakini di dunia

Selain, Dr Noor Hisham, dua lagi yang dinamakan doktor terbaik ialah pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Anak kelahiran Sepang, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mula dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!