Kampung Chendering dibuka dengan linangan air mata
KUANTAN - Kampung Chendering yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuantan, mungkin tidak dikenali ramai kerana agak terpencil walaupun terletak bersebelahan dengan Kampung Permatang Badak.
Bagaimanapun, kawasan yang pada asalnya sebuah hutan belukar itu kini menjadi penempatan penduduk dan semakin berkembang pesat.
Mengikut cerita penduduk setempat, Simis Jusoh, 77, perkampungan itu dibuka seawal 1969 oleh penduduk asal dari Kampung Chendering, Kuala Terengganu.
Menurutnya, pada ketika itu, arwah suaminya, Rani Ali bersama Mohamad Ismail dan 30 penduduk lain bersepakat untuk menerokai tanah baharu di negeri Tok Gajah ini.
“Makcik masih ingat masa itu, Mohamad selaku ketua mengajak kami semua untuk berhijrah ke Pahang dan membuka penempatan.
“Jadi kami semua bersetuju dengan cadangan tersebut dan masing-masing membawa keluarga. Masa datang ke sini, Makcik bawa empat anak yang masih kecil.
"Bila sampai di sini, arwah suami makcik bina pondok kecil di dalam hutan untuk kami tinggal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chendering, semalam.
Simis berkata, sebelum diteroka, kampung berkenaan pada asalnya hutan dan dipenuhi pokok balak serta menjadi habitat hidupan liar seperti badak, babi hutan, kera dan monyet.
Katanya, penduduk pernah terserempak dengan haiwan-haiwan itu ketika menebang pokok dan menebas hutan untuk mendirikan rumah serta bercucuk tanam.
“Nak buka penempatan makcik boleh cakap bukan sesuatu yang senang. Berlinangan air mata dan ada penduduk yang balik semula ke Kuala Terengganu sebab tak tahan.
“Susahnya ALLAH saja yang tahu. Pernah tak makan disebabkan tiada makanan kerana hutan belum ditebas sebaiknya.
"Tapi selepas kawasan dibersihkan penduduk tanam ubi kayu, jagung, padi kerana tanahnya yang subur,” katanya.
Simis berkata, sedikit demi sedikit kawasan diteroka bertukar menjadi penempatan dan pusat pertanian.
Katanya, mereka kemudiannya berjaya mempengaruhi penduduk luar untuk datang membina penempatan di situ.
Menurutnya, Mohamad yang dilantik sebagai ketua di kampung itu mengagihkan kira- kira 0.8 hektar tanah kepada setiap keluarga yang meneroka hutan terbabit bersamanya.
Sementara itu, Kamaruddin Abdul Rahman, 59, berkata, dia baru berusia 12 tahun ketika kawasan perkampungan itu diteroka.
Katanya, pada ketika itu, bapanya, Abdul Rahman Mohamad antara individu yang turut serta berhijrah ke kawasan tersebut.
“Saya boleh lihat kepayahan ayah dan 30 keluarga lain yang tinggalkan kampung halaman mereka untuk berhijrah ke sini sehingga kawasan ini ada lebih 200 rumah,” katanya.
Menurutnya, selepas rumah penduduk dibina, surau di perkampungan terbabit turut diwujudkan bagi memudahkan urusan ibadah.
Kemudian, penduduk menamakan penempatan itu dengan Kampung Chendering sempena nama Kampung Chendering di Kuala Terengganu.
“Cadangan tersebut dipersetujui semua orang kerana rata-rata yang datang ke sini adalah penduduk kampung asal dari negeri terbabit.
“Justeru, Kampung itu sehingga kini terkenal dengan nama terbabit, walaupun diberikan nama baharu iaitu Kampung Baharu Pandan 2,” katanya.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, sekitar 1978 hingga 1980, kerajaan mula membangunkan kawasan itu dengan membina jalan raya bagi kemudahan penduduk.
Malah, orang luar termasuk anak jati negeri ini mula memasuki kampung tersebut bagi membina penempatan.
Selain itu, katanya taman perumahan dibangunkan dan sekolah dibina bagi menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah.
Kini, Kampung Chendering bukan lagi kawasan hutan tetapi perkampungan yang semakin maju dan moden seiring dengan arus perkembangan bandar Kuantan.
Malah, jelasnya kampung terbabit juga diberi nama baharu iaitu Taman Pandan 2.
Penduduknya terdiri daripada setiap lapisan masyarakat, sama ada dari bidang profesional, korporat mahupun memiliki perniagaan sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!