Wanita jadikan rumah port dadah ditahan
SUNGAI PETANI - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda menahan 11 individu termasuk seorang wanita yang menjadikan rumahnya sebagai lokasi penagihan dadah di Flat Paya Nahu, di sini semalam.
Wanita berusia 38 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berusia 23 tahun yang ketika itu turut berada di rumahnya.
Ketua Pegawai AADK Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, ketika ditahan wanita berstatus ibu tunggal itu tidak mengaku telah mengambil dadah namun ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, rumah didiami wanita itu dipercayai menjadi persinggahan penagih dadah sekitar kawasan ini yang datang dengan membawa bekalan untuk pelanggan.
"Operasi bermula jam 9 pagi hingga 10 malam itu membabitkan enam anggota penguat kuasa menyerbu 11 lokasi panas termasuk di Sungai Lalang, Sungai Petani, Bandar Amanjaya, Gurun, Bedong dan Sidam Kiri.
"Seramai 11 individu ditahan berusia antara 23 hingga 44 tahun di mana empat daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan tujuh lagi positif dadah jenis methamphetamine serta morphine," katanya.
Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.
Dalam pada itu, Arnida berkata, AADK sentiasa membuka peluang dan ruang kepada individu yang telah terjebak dengan penyalahgunaan dadah untuk hadir ke pejabat bagi mendapatkan khidmat nasihat.
"Kami amat menggalakkan mereka mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela di pusat pemulihan yang telah disediakan kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!