‘Kasih sayang sukar’ jadikan saya pemain lebih baik: Rashford
Pemain Manchester United, Marcus Rashford mengakui bimbingan dan juga ‘kasih sayang yang sukar’ daripada Jose Mourinho menjadikannya sebagai pemain yang lebih baik hari ini.
Penyerang England itu berkata, kaedah latihan yang digunakan Mourinho mengendalikan skuad The Red Devils itu sebelum ini, banyak membantu khususnya dalam memperbaiki mutu permainannya.
Menurut Rashford, selama di bawah bimbingan pengendali Portugal itu, dia telah melalui musim yang agak sukar, namun ia masih mampu membantunya untuk menjadi pemain yang lebih baik.
"Ia memang masa yang sukar, tetapi bila anda melihatnya kembali setelah lima atau enam tahun selepas itu, ia adalah detik yang membuatkan anda menjadi kuat.
“Sebagai pemain, saya banyak meningkat selama di bawah kendalian Mourinho.
“Kami melalui jatuh dan bangun. Bila dilihat balik, ia memang sukar tetapi kesukaran itulah yang menjadikan saya pemain yang lebih baik,” katanya.
Untuk rekod, Mourinho mengendalikan United pada musim 2016 – 2017 lalu sebelum dipecat pada Disember 2018.
Di bawah kendaliannya, Rashford telah merasai nikmat memenangi Piala Liga (Piala Carabao) dan juga Liga Eropah (Europa League) selain berpeluang beraksi bersama pemain hebat seperti Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku.
Kini, di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, Rashford sedang melalui musim terbaiknya apabila meledak 19 gol dalam semua pertandingan sebelum mengalami kecederaan belakang ketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan berikutan wabak Covid-19.
Sementara itu Rashford mengakui lebih selesa untuk beraksi di posisi sayap kiri berbanding penyerang tengah ketika memulakan karier di Old Trafford.
“Bila anda berada di sebelah kiri, anda mampu mencipta lebih banyak perkara daripada anda sendiri dan memberikan yang lebih kepada pasukan.
"Tetapi bila anda beraksi di bahagian hadapan, ada kalanya anda berseorangan dan memerlukan seseorang di bahagian tengah untuk melorongkan bola,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!