Covid-19: Korban di seluruh dunia kini cecah 170,042 orang
ANKARA - Jumlah kematian koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia melebihi 170,000 pada semalam, menurut laporan Johns Hopkins University lapor agensi berita Anadolu.
Data universiti itu menunjukkan seramai 170,042 terkorban manakala jumlah jangkitan dan pesakit yang sembuh masing-masing sebanyak 2,473,209 dan 646,012.
Amerika Syarikat terus menjadi negara paling teruk diancam mencatat lebih 784,500 kes dan 42,138 kematian.
Korban kedua tertinggi di Itali seramai 24,114 dan Sepanyol pula mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi dengan 200,210.
Virus maut ini telah merebak ke 185 negara dan wilayah sejak pertama kali muncul di Wuhan, China pada Disember. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!