Selangor catat jumlah pelaburan tertinggi dalam negara
SHAH ALAM - Selangor mencatat pelaburan tertinggi dalam negara tahun lalu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM47.8 bilion.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu diumumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri berbangga apabila Selangor meneruskan kecemerlangan sejak 25 tahun lalu dan menjuarai pelaburan antara negeri-negeri di Malaysia.
“Selain menyumbang secara signifikan kepada sektor perkhidmatan, kejayaan Selangor turut diperakui dalam sektor pembuatan dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM17 bilion yang juga tertinggi di Malaysia.
“Penghargaan ini membuktikan kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan pelabur kekal tidak terusik meskipun 2019 ditandai dengan Perang Dagang AS-China serta kelembapan pasaran yang agak ketara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Amirudin berkata, Selangor berada di posisi terbaik meski mendepani tahun 2020 dengan cabaran wabak Covid-19 dan juga harga minyak mentah yang merudum sehingga bawah paras sifar.
“Selangor berada pada kedudukan terbaik untuk mempertingkatkan lagi inisiatif digitalisasi serta mempelbagaikan aliran pendapatan (stream of income) melalui inovasi dan mempermudah tatacara pentadbiran.
“Moga-moga nama Darul Ehsan kekal tiada tara!,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!