Amerika Latin catat peningkatan kes Covid-19
QUITO - Kes wabak koronavirus (Covid-19) di Amerika Latin terus menyaksikan peningkatan semalam sementara ada beberapa negara mula mempertimbangkan untuk melonggarkan peraturan 'lockdown', lapor agensi berita Xinhua.
Dalam tempoh 24 jam lalu, jumlah kes di Brazil melonjak kepada 40,581 peningkatan sebanyak 1,927 kes, sementara bilangan kematian seramai 2,575 meningkat 113 lagi, menurut Kementerian Kesihatan.
Sao Paulo negara terkaya dan penduduk paling ramai menjadi pusat penularan wabak yang melaporkan 14,580 kes diikuti Rio de Janeiro.
Ecuador melaporkan 10,128 kes dan 507 kematian selepas 660 lagi kes baharu dikesan dan 33 pesakit meninggal dunia.
Angka korban sebenar mungkin jauh lebih tinggi, kerana 826 kematian disyaki berkaitan Covid-19 'masih belum dapat disahkan', kata Menteri Dalam Negeri, Maria Paula Romo semasa taklimat harian mengenai wabak itu.
Di Chile pula pihak berkuasa kesihatan mengatakan 10,507 orang diuji positif dan keseluruhan setakat ini seramai 139 orang terkorban. Dalam tempoh 24 jam lalu sebanyak 419 kes baharu dikesan dan enam orang meninggal dunia.
Memandangkan Chile beransur-ansur akan melonggarkan langkah lockdown bermula Isnin, Timbalan Menteri Kesihatan Paula Daza berkata, penting untuk 'meneruskan kehidupan kita dengan cara yang sangat bertanggungjawab'.
Pada Ahad, Presiden Chile, Sebastian Pinera berkata, penjawat awam akan mula kembali bekerja dan pelajar akan mengikuti kelas pembelajaran pada Mei.
Pinera akan mengusulkan satu rang undang-undang kepada Kongres untuk menentukan penjarakan sosial di sektor awam.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Peru, Victor Zamora berkata, negara ini telah melalui puncak penularan wabak dengan 16,325 kes dan 445 kematian.
"Kami sudah meramalkan perkara itu, sebab itu kita beritahu dalam dua minggu ini (jumlah jangkitan) akan meningkat," kata Zamora.
Langkah lockdown di Peru dikuat kuasa sehingga 26 April. Pihak berkuasa sedang menilai sama ada sekatan akan dilonggarkan atau dilanjutkan.
Perintah berkurung dikenakan bermula 6 petang (2300 GMT) hingga 4 pagi. (0900 GMT). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!