Sejauh mana khidmat penghantaran barang selamat, bebas Covid-19

Lebih 40 syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan e-hailing dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Ramadan ini.
 - Foto Bernama
Lebih 40 syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan e-hailing dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Ramadan ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kecenderungan terhadap penggunaan platform dalam talian kian rancak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) dan menjadi kaedah selamat untuk membeli barangan serta perkhidmatan yang diperlukan tanpa perlu keluar rumah.

Lantaran itu, petugas yang ‘diambil bekerja’ melalui platform digital berdasarkan setiap perkhidmatan dikenal pasti sebagai 'pekerja utama' semasa PKP sama ada membantu memenuhi keperluan barangan dapur, penghantar barangan PosLaju, Lazada dan Shoppee ataupun perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda dan Grab.

Disebabkan sifat pekerjaan mereka yang perlu 'ke sana sini', golongan ini berisiko tinggi terdedah jangkitan wabak itu kerana mereka dikhuatiri tidak dapat mengutamakan amalan kebersihan 100 peratus seperti membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air ataupun cecair pembasmi kuman.

Lantaran itu, timbul persoalan adakah penyediaan serta penghantaran makanan atau barangan ini benar-benar selamat dan terjamin kebersihannya tidak hanya kepada si penghantar tetapi juga kepada pengguna perkhidmatan itu.

Melihat situasi itu, kerajaan mula mewajibkan penghantar makanan menjalani saringan kesihatan di klinik kesihatan atau klinik swasta terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ketika PKP berkuat kuasa dengan kos ujian saringan ditanggung oleh syarikat penghantar makanan.

Keputusan itu melegakan pelanggan apatah lagi buat penghantar makanan sendiri yang pastinya risau akan keselamatan diri kerana merekalah antara individu yang bertungkus-lumus memenuhi permintaan ramai hingga menyaksikan tempahan penghantaran melonjak lebih 30 peratus berikutan PKP.

Penghantar makanan membuat saringan Covid-19 dikendalikan petugas kesihatan Selcare secara pandu lalu dan percuma di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam, semalam. - FOTOASRIL ASWANDI ABDUL SHUKOR
Penghantar makanan membuat saringan Covid-19 dikendalikan petugas kesihatan Selcare secara pandu lalu dan percuma di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam, semalam. - FOTOASRIL ASWANDI ABDUL SHUKOR

Bagi melihat adakah langkah-langkah pencegahan benar-benar diamalkan oleh para penghantar, penulis telah ke beberapa kawasan tumpuan 'rider' dan nyata kebanyakan mereka patuh dengan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman selain sentiasa memakai topeng muka semasa bertemu pelanggan mahupun ketika mengambil pesanan barangan.

Artikel Berkaitan:

Bercakap kepada Bernama, penghantar makanan FoodPanda, Izz Farhan Nadzri, 24, yang berasal dari Raub, Pahang percaya selain mengamalkan jarakan sosial ketika berurusan dengan pelanggan, dia sentiasa beringat dan mengambil langkah pencegahan yang diperlukan agar diri tidak dijangkiti penyakit itu.

"Janganlah teragak-agak menggunakan khidmat ‘runner’ kami. Kami telah dibekalkan dengan topeng muka, sarung tangan, cecair pembasmi kuman secara percuma oleh majikan.

“Malah kami juga dikehendaki mengikuti garis panduan termasuk menggunakan cara penghantaran tanpa sentuhan di samping perlu menjalani saringan kesihatan," katanya yang juga seorang mahasiswa di sebuah universiti awam.

Dalam usaha untuk mengurangkan kontak antara orang ramai, beberapa syarikat penghantar makanan, antaranya FoodPanda, Grab dan Domino's Pizza, telahpun mengeluarkan garis panduan dengan memperkenalkan konsep penghantaran tanpa sentuhan antara penghantar dengan pelanggan.

Seorang ‘personal shopper’, Mohd Raimi Mustafa, 21, dari Manjung, Perak berkata, dia akan menjalani saringan kesihatan di klinik kesihatan berhampiran bagi mengelak sebarang kesangsian terhadap tahap kesihatan beliau sendiri dan ahli keluarganya meskipun baru sahaja menceburi itu bagi mengisi masa terluang.

Bagi pengguna aplikasi pesanan makanan, Huzairi Alias, 28, dari Kajang, Selangor, dia berpendapat saringan kesihatan yang diwajibkan kepada penghantar makanan adalah sangat bertepatan dan perlu disegerakan dalam usaha berterusan kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

"Musim PKP ni keluarga saya memang kerap menggunakan khidmat 'runner'. Jadi kita tidak mahu duduk di rumah tetapi dapat penyakit itu dari penghantar makanan. Tak pasal-pasal wujud pula 'Kluster Penghantar Makanan' yang baru," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 sebelum ini memberitahu setakat ini tiada penghantar makanan direkodkan positif wabak itu.

Beliau dipetik sebagai berkata bahawa setakat ini tiada tanda bahawa wabak Covid-19 merebak menerusi makanan berikutan kebimbangan orang ramai sekiranya terdapat pekerja restoran yang menyediakan perkhidmatan makanan bawa pulang didapati positif jangkitan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!