Bayar zakat fitrah dalam talian
KUALA LUMPUR - Kesemua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) mengoptimumkan kaedah pembayaran zakat fitrah secara dalam talian bagi memudahkan pembayar menunaikan kewajipan dengan lebih pantas dan selamat.
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Jabatan Perdana Menteri berkata, orang ramai boleh merujuk laman sesawang Majlis Agama Islam negeri masing-masing untuk mengetahui mekanisme pembayaran zakat fitrah secara dalam talian dengan lebih lanjut.
Dalam pada itu, MAIN dan AMZ masih menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil bagi membantu mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi atau tidak mempunyai capaian internet namun pelaksanaannya adalah minimum.
"Bagi individu yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) atau baru sembuh daripada wabak itu termasuk dalam kategori pesakit dalam siasatan (PUI) dan individu di bawah pengawasan (PUS) yang ingin menunaikan kewajipan zakat fitrah hendaklah mewakilkan pembayaran kepada ahli keluarga atau waris yang sihat.
"Mekanisme pelaksanaan ini akan diselaras sewajarnya sesuai dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang sedang berkuat kuasa. Bagaimanapun, bagi negeri yang tidak menyediakan perkhidmatan bayaran fitrah melalui amil maka pembayar perlulah merujuk pihak MAIN dan AMZ selaku pihak berkuasa agama negeri," menurut soalan lazim (FAQ) berkaitan dengan pembayaran zakat fitrah sepanjang PKP.
Jelasnya lagi, segala arahan dan tatacara kawalan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dilaksanakan.
Menurutnya, lokasi pembayaran zakat fitrah dikenal pasti oleh pihak MAIN dan AMZ adalah bersesuaian dan mengambil kira elemen penjarakan sosial yang selamat.
"Proses pembayaran juga perlu diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Pembayar dan amil adalah dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan, memakai topeng muka serta menggunakan pensanitasi tangan.
"Pembayar digalakkan menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar setelah selesai urusan pembayaran.
"Setiap amil fitrah dilantik tertakluk kepada arahan dan tatacara kawalan yang ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM. Mereka juga terikat dengan tatacara digariskan oleh MAIN dan AMZ.
"Sekiranya amil atau pembayar berada dalam keadaan kurang sihat, mereka tidak dibenarkan memungut atau menunaikan zakat fitrah pada waktu itu," jelasnya.
Perkhidmatan kaunter zakat fitrah di tempat tumpuan awam seperti pasar raya tidak disediakan dan ia selaras dengan arahan PKP yang sedang berkuat kuasa iaitu larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai.
Terdapat beberapa mekanisme pelaksanaan yang dicadangkan iaitu bayaran secara pandu lalu, kutipan dari rumah ke rumah dan sebagainya.
Tahun ini, buat pertama kali lima negeri mengikut langkah empat negeri lain yang telah memperkenalkan kadar zakat fardu pada bulan puasa yang berbeza harganya.
Sebelum ini, hanya Johor, Kedah, Perak dan Melaka berbuat demikian sejak tahun lalu dan kali ini, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan turut melakukan perkara sama.
Langkah itu menyaksikan hanya Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Terengganu dan Sarawak yang mewartakan kadar seragam sebanyak RM7 setiap orang sama seperti Ramadan lepas.
Pada tahun lalu, Johor dan Melaka melaksanakan dua kadar berbeza mengikut jenis beras dimakan iaitu masing-masing RM7 atau RM10 bagi Johor serta RM7 atau RM14 bagi Melaka.
Sementara itu, Kedah dan Perak pula perkenal tiga kadar berbeza juga mengikut gred beras dimakan umat Islam di dua negeri utara semenanjung itu sama ada RM7, RM14 atau RM21.
Kali ini, Kedah menambah satu lagi kadar iaitu RM5 manakala Selangor mulai Ramadan tahun ini mewujudkan tiga kadar berbeza iaitu RM7, RM14 atau RM21 seperti dilakukan di Perak.
Sabah pula menetapkan dua kadar yang berbeza iaitu RM6 atau RM7.50 namun tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikenakan sama ada RM5 atau RM7.
Kelantan meskipun perkenal tiga kadar berbeza tetapi umat Islam di negeri itu digalakkan bayar sama ada RM14 atau RM21 mengikut jenis beras yang dimakan selain kadar biasa iaitu RM7.
Kadar zakat fitrah mengikut negeri:
Johor
RM7, RM10
Bayaran atas talian:
i. Zakat Johor Online Payment
- Fastpay melalui https://fitrah.maij.gov.my
- Pengguna berdaftar melalui https://epayment.maij.gov.my
ii. Laman Sesawang Johor Online Payment – https://onlinepayment.johor.gov.my/; dan
iii. Aplikasi SnapNPay
Kedah
RM5, RM7, RM14, RM21
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. Laman sesawang Jom Zakat - https://jom.zakatkedah.com.my/;
ii. Laman sesawang Asnaf Care - https://asnafcare.com.my/; dan
iii. Aplikasi Zakat On Touch (ZOT) - http://bit.ly/zotkdh (Android dan IOS)
Kelantan
RM7 (Namun, bayaran fitrah dengan kadar RM14 dan RM21 berdasarkan harga beras yang dimakan adalah digalakkan)
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. Financial Process Exchange (FPX) melalui https://zakat.e-maik.my/ ;
ii. Laman sesawang ejen-ejen bank (16 bank);
iii. QR Code;
iv. Aplikasi MyMaik eZakat Payment; dan
v. SMS
Melaka
RM7, RM14
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. Laman sesawang izakat.com; dan
ii. QRPay Bank Muamalat
Negeri Sembilan
RM7
1. Amil fitrah yang dilantik**; atau
2. Bayaran atas talian:
i. Portal Pembayaran Zakat melalui www.zakatns2u.biz ;
ii. Aplikasi ZakatN9;
iii. Aplikasi SnapNPay; dan
iv. JomPAY
**(keperluan amil hanya diberikan kepada pegawai PBMalNS mengikut keputusan pihak pengurusan)
Pahang
RM7
1. Bayaran atas talian FPX melalui https://ezakat.muip.gov.my/zakatfitrah/
Perak
RM7, RM14, RM21
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. FPX melalui www.maiamp.gov.my;
ii. QRPay Maybank;
iii. Aplikasi SnapNPay; dan
iv. Aplikasi GoPayZ
Perlis
RM7
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. Aplikasi SnapNPay
Pulau Pinang
RM7, RM16
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. Aplikasi SnapNPay;
ii. JomPAY;
iii. QR Code;
iv. Aplikasi GoPayZ; dan
v. FPX
Selangor
RM7, RM14, RM21
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. FPX melalui portal eZakatPay di pautan https://fpx.zakatselangor.com.my/;
ii. Aplikasi e-dompet GoPayZ;
iii. Aplikasi e-dompet Boost;
iv. QR Code;
v. Laman sesawang Ejen-Ejen Bank (9 buah bank);
vi. Portal MyEG; dan
vii. Pos Online
Terengganu
RM7
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. FPX melalui pautan http://www.maidam.gov.my/index.php/ms/; dan
ii. Aplikasi SnapNPay
Sabah
RM6, RM7
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. Laman sesawang Ejen-Ejen Bank;
ii. Portal MyEG;
iii. Aplikasi SnapNPay; dan
iv. JomPAY
Sarawak
RM7
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Bayaran atas talian:
i. Portal Pelanggan TBS (Baitulmal Kamek);
ii. Aplikasi Tabung Baitulmal Sarawak;
iii. Portal MyEG;
iv. Maybank2U; dan
v. Aplikasi SnapNPay
Wilayah Persekutuan
RM5, RM7
1. Amil fitrah yang dilantik; atau
2. Kaunter PPZ-MAIWP; atau
3. Bayaran atas talian:
i. melalui portal PPZ fitrah.zakat.com.my;
ii. Laman sesawang Ejen-Ejen Bank (14 buah bank);
iii. PayHalal;
iv. Portal MyEG;
v. U-Mobile; dan
vi. Pos Online
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!