Bentuk 'love' dengan kereta peronda hargai petugas perubatan
FORT MYERS - Polis di Fort Myers, Florida memberi penghormatan kepada petugas perubatan di Lee Memorial Hospital terhadap kerja keras mereka semasa wabak koronavirus (Covid-19).
Menerusi Facebook rasmi Polis Fort Myers menunjukkan beberapa kereta polis disusun sebelum dibentuk simbol 'love' di hadapan hospital pada Khamis.
Apa yang menariknya, video dirakam menggunakan dron memaparkan pandangan dari atas sungguh menakjubkan di mana pada bahagian tengah, beberapa anggota polis berdiri memegang kertas sambil menunjukkan perkataan tertera 'Terima kasih FMPD' ditemani cahaya lampu kereta peronda polis yang menarik perhatian ramai.
"Kami menghargai setiap petugas perubatan yang rajin dan kami ucapkan terima kasih. Kami bangga kerjasama dengan anda," menurut catatan di Facebook itu.
Perkongsian video berdurasi 43 saat dimuat naik semalam di Twitter ABC News tular di laman sosial dan meraih lebih 23,900 tontonan.
Selepas menonton video itu, netizen @nducullin mengagumi penghargaan anggota polis terhadap petugas perubatan.
"Ia sungguh cantik. Saya juga seorang jururawat dan berasa gembira, bangga kerana dihargai.
"Berharap semua negara kembali pulih dan bebas Covid-19." ciapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!