2,632 keluarga di PPR, Council Homes terima Bantuan Selangor Prihatin
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM131,600 menerusi Program Bantuan Selangor Prihatin di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Council Homes di bawah kelolaan kerajaan negeri.
Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, bantuan berkenaan bakal memberi manfaat kepada 2,632 keluarga yang tinggal di PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi.
Menurutnya, menerusi bantuan itu, setiap keluarga akan menerima barangan keperluan asas dengan anggaran nilai sebanyak RM50.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, terdapat banyak keluarga yang terjejas terutama golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk penyewa PPR dan Council Homes.
“Program Bantuan Selangor Prihatin ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan penyewa PPR dan Council Homes. Setiap keluarga akan menerima keperluan asas seperti beras, minyak, gula, dan tepung,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada penyewa PPR Kampung Baru Hicom pagi tadi.
Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan anak syarikatnya, Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).
Terdahulu beliau berkata, kerajaan Selangor pada 9 April lalu mengumumkan pengecualian bayaran sewa bagi April dan penangguhan bayaran sewa bagi Mei dan Jun tahun ini kepada seluruh penyewa PPR dan Council Homes.
Keprihatinan kerajaan negeri itu bagi meringankan beban 980 penyewa PPR Kampung Baru Hicom; 1,152 penyewa (PPR Kota Damansara), 300 penyewa (PPR Serendah) dan 200 penyewa unit di Council Homes, Bandar Baru Bangi.
Katanya, kerajaan Selangor berharap inisiatif prihatin ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh semua penyewa.
“Saya mohon semua supaya terus mematuhi arahan PKP supaya wabak Covid-19 ini tidak terus merebak dan seterusnya kehidupan kita dapat kembali seperti sediakala selepas ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!