Tun M tiba di Senegal hadiri ICEA
DAKAR - Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiba di Dakar, Rabu, untuk menghadiri persidangan mengenai Afrika, diberi penghormatan apabila ketibaannya disambut sendiri oleh Presiden Senegal Macky Sall.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri Malaysia, yang membuat lawatan kerja dua hari ke Senegal itu, mendarat di Lapangan Terbang Leopold Sedar Senghor pada kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia, Khamis).
Dr Mahathir diiringi oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Turut hadir bagi menyambut ketibaan mereka ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya, serta duta besar negara ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin.
Perdana Menteri kemudiannya diiring ke Istana Presiden untuk mesyuarat dua hala dengan presiden, yang menurut Kementerian Luar, akan menyentuh kepada perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama, dengan tujuan meningkatkan hubungan dua hala, di samping kolaborasi dalam isu-isu penting peringkat wilayah dan global.
Dr Mahathir merupakan satu-satunya ketua kerajaan dari negara Asia yang mengambil bahagian dalam persidangan Persidangan Antarabangsa mengenai Kemunculan Afrika (ICEA) kali ketiga di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD) di sini dari 17 sehingga 19 Jan.
Kemuncak kehadiran Dr Mahathir di ICEA-III adalah perbincangan panel peringkat tinggi yang akan berlangsung selepas majlis perasmian persidangan, Khamis.
Perdana Menteri berumur 93 tahun itu dijangka akan disertai oleh ketua-ketua negara dari negara seperti Burkina Faso, Ivory Coast, Kenya, Rwanda, dan juga negara tuan rumah Senegal.
Dengan tema “Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman (Emergence, Private Sector and Inclusiveness), persidangan itu memberikan peluang kepada Dr Mahathir untuk menyampaikan kisah kejayaan perkongsian awam-swasta di Malaysia.
Perdana Menteri juga dijangka berkongsi idea dan wawasan Malaysia berhubung perkongsian ekonomi dan perdagangan antara negara-negara Asia Tenggara dengan negara-negara Afrika.
Ini akan menjadi kemunculan pertama Perdana Menteri di ICEA sejak persidangan itu mula diperkenalkan pada tahun 2015. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!