Peniaga bazar MITC rayu wang deposit dipulangkan
MELAKA TENGAH - Kira-kira 300 peniaga Bazar Ramadan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini merayu dan berharap pihak penganjur memulangkan semula bayaran deposit yang telah dibuat sejak Februari lalu.
Bayaran deposit sebanyak 60 peratus itu diminta peniaga susulan pembatalan semua bazar Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Peniaga kasut, Ramdan Abu Kassim, 47, berkata, wang deposit yang telah dibayar bukanlah sedikit, malah ada peniaga yang sudah habis hampir berbelas ribu untuk membayar sewa tapak di bazar tersebut.
"Kalau dua khemah perlu bayar RM6,600, bayangkan kalau ada peniaga yang ambil tiga khemah dan sudah tentu banyak yang telah dibayar mereka.
"Jadi kami mohon jasa baik pada pihak-pihak kontraktor yang terlibat agar dapat memberikan kerjasama kepada penganjur sekali gus penganjur dapat memulangkan wang kami," katanya.
Menurutnya, dia juga telah menghubungi ejen lantikan penganjur dan mereka memaklumkan akan membayar kembali wang deposit kepada peniaga secara berperingkat bermula dengan membuat bayaran sebanyak 30 peratus dari jumlah deposit yang dibayar pada minggu ini seterusnya 20 peratus pada minggu hadapan dan 50 peratus bakinya secara terus akan diberitahu kelak.
Bagaimanapun katanya, apa yang diharapkan ia bukanlah sekadar 'janji kosong' namun janji yang akan ditunaikan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup lebih-lebih lagi hilang punca pendapatan ekoran PKP.
Bagi Hirrama Zakaria, 36, yang telah berniaga di lokasi terbabit sejak 2017, dia benar-benar buntu untuk mendapatkan semula wang deposit itu memandangkan dia dan isteri telah menggunakan wang simpanan mereka tujuan itu.
Disebabkan tiada lagi punca pendapatan katanya, dia terpaksa mengorek wang tabung untuk meneruskan kehidupan lebih-lebih lagi menanggung dua anak yang masih kecil.
Katanya, kesemua peniaga akur dengan saranan kerajaan yang membatalkan bazar Ramadan tahun ini demi keselamatan rakyat, namun wang yang telah dibayar perlu dipulangkan semula dengan cepat bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung peniaga kerana pembatalan bazar tersebut.
"Dengan pergerakan terbatas, kita minta jasa baik dan kerja sama penganjur dan semua kontraktor segerakan wang deposit," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman berkata, pihaknya telah berhubung dengan penganjur terbabit untuk tampil ke pejabat MPHTJ bagi menjelaskan isu yang dipanjangkan oleh peniaga, namun pihak MITC gagal menghadirkan diri dalam perjumpaan semalam.
"MPHTJ akan terus berhubung dengan pihak MITC bagi mendapatkan penjelasan dan jalan penyelesaian agar nasib peniaga ini mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!