Pasar Borong Selayang dibuka, hanya kawasan sekitar ditutup

Pasar Borong Kuala Lumpur. -Foto Sumber Internet
Pasar Borong Kuala Lumpur. -Foto Sumber Internet
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan tidak menutup Pasar Borong Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Pasar Borong Selayang sebaliknya menutup kawasan sekitar selama empat hari sehingga khamis ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tersebut diambil supaya operasi sanitasi yang turut melibatkan pasar borong itu dapat dijalankan.

"Kita sebenarnya hanya tutup kawasan sekitar tetapi disebabkan ramai pekerja di pasar borong terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan tersebut.

"Tujuan penutupan bukan selama 14 hari seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetapi hanya empat hari sehingga Khamis ini supaya proses sanitasi di pasar borong dapat dilaksanakan.

"Kita mahu apabila kawasan itu dibuka, ia telah selesai disanitasi. Untuk peniaga pula, mungkin kita minta Kementerian Kesihatan untuk ambil tindakan bagi memastikan mereka ini tiada jangkitan Covid-19," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama

Ditanya mengenai peraturan bagi jurugambar agensi berita yang dihadkan pada jarak 200 meter dari penghadang kawasan yang ditutup berbanding sebelum ini, beliau percaya peraturan tersebut bagi memastikan keselamatan pengamal media daripada dijangkiti Covid-19.

"Bagaimanapun, kita akan berbincang dengan polis dan Kementerian Kesihatan jika berada di tepi kawat berduri dianggap selamat, maka kita akan maklumkan tetapi jika KKM kata perlu berada pada jarak 300 meter (dari kawat berduri) ialah jarak selamat, jadi kita kena ikut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!