MOSTI jalin pendekatan diplomasi sains kaji vaksin Covid-19

Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika sidang media kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Luar bagi mendapatkan capaian dan bekalan vaksin Covid-19 menerusi pendekatan diplomatik di MOSTI hari ini. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika sidang media kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Luar bagi mendapatkan capaian dan bekalan vaksin Covid-19 menerusi pendekatan diplomatik di MOSTI hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang dalam usaha mengadakan satu pendekatan diplomasi sains bagi melakukan kajian terhadap vaksin koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penyertaan Malaysia amat penting untuk memastikan negara terlibat pada peringkat ujian ‘human trial’ dan mendapat vaksin secepat mungkin apabila ia sedia untuk digunakan kelak.

Katanya, MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenal pasti vaksin dan perubatan yang diperlukan selain melihat kepada pembangunan vaksin serta negara-negara yang sedang membangunkan vaksin itu.

"Maklumat ini akan dikongsi bersama Wisma Putra yang akan menggunakan diplomasi dan juga hubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara yang menghasilkan vaksin atau sedang membangunkan vaksin.

“Kolaborasi antara ketiga-tiga kementerian ini sangat penting sebab sekarang ini sedang berlangsung pra-klinikal dan percubaan klinikal di beberapa negara,” katanya pada sidang media secara langsung di Facebook rasmi kementerian tersebut di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Khairy berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa negara untuk menjalinkan bekerjasama, selain turut menerima cadangan daripada negara lain bagi membantu negara tersebut dalam ujian klinikal itu.

“Antara negara tersebut termasuk China, United Kingdom (UK), Korea Selatan, India dan Bosnia. Ada negara yang sudah berhubung dengan kita dan ada negara yang kita akan berhubung dengan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tegas beliau, tiada jalan pintas untuk membangunkan vaksin, sebaliknya ia perlu melalui ujian saintifik dan pengesahan di peringkat antarabangsa.

“Tempoh pembangunan vaksin biasa adalah dalam 18 hingga 24 bulan tetapi saya rasa kerana Covid-19 ini menjadi pandemik dunia, saya percaya proses ini akan dipercepatkan.

“Namun, tiada jalan pintas dan ia mesti melalui ujian klinikal dan disahkan di peringkat antarabangsa mengenai keberkesanannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau itu menyifatkan Malaysia sebagai antara negara paling sesuai untuk menjalinkan kerjasama berhubung dengan negara-negara yang berpotensi untuk menghasilkan perubatan dan vaksin Covid-19.

“Ini berikutan kepelbagaian bangsa di negara ini, selain terdapat tiga 'strain' Covid-19 yang dikesan di Malaysia setakat ini.

“Dari situ dengan negara-negara yang nak buat 'human trial' di sini (Malaysia), Wisma Putra mungkin boleh meyakinkan negara tersebut dan Malaysia boleh menjadi negara yang terdahulu menerima vaksin itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!