KKM belum putuskan PKP ditamatkan atau sebaliknya
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dapat memberi kepastian sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara sejak 18 Mac lalu akan ditamatkan atau sebaliknya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementeriannya masih sedang memantau data-data yang diperoleh setiap hari.
"Sama ada PKP disambung atau tidak, kita masih belum lagi membuat sebarang keputusan," katanya.
Menurutnya, apa yang pasti, sekiranya kerajaan memutuskan untuk menamatkan PKP, terdapat enam kriteria yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu dipenuhi.
"Yang pertama adalah kawalan sempadan yang mana berkemungkinan datang ke negara ini membawa penyakit," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), WHO turut menggariskan sistem kesihatan.
"Ia melibatkan kapasiti makmal dan sistem keselamatan di wad serta unit rawatan rapi (ICU)," katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk melindungi golongan berisiko tinggi termasuklah mereka yang mempunyai penyakit kronik lain dan berada dalam rawatan kimoterapi.
"WHO turut menggariskan rakyat perlu bersama dengan kerajaan dengan melaksanakan normal baharu selain mengenalpasti kawasan dan langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19," katanya.
Terdahulu KKM telah mengesan 95 individu daripada luar negara dijangkiti wabak itu.
"Daripada 95, 68 daripadanya mereka adalah dari Indonesia, 12 dari United Kingdom, lima dari Singapura, dan empat dari Turki, tiga dari Belanda dan dua dari Amerika Syarikat dan seorang dari Perancis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!