Korban serangan di Nairobi meningkat 21 orang
NAIROBI - KENYA. Sekurang-kurangnya 21 orang maut susulan serangan militan ke atas sebuah hotel mewah di Nairobi, awal pagi kelmarin.
28 mangsa cedera dimasukkan ke hospital, sementara 19 lagi masih hilang susulan serangan di Hotel DusitD2 dan beberapa kompleks perniagaan.
Menurut polis, serangan didalangi kumpulan militan al-Shabab itu menyaksikan penyerang membaling bom ke arah kenderaan di hadapan hotel sebelum menyerbu masuk, salah seorang daripada mereka turut dilaporkan meletupkan diri.
Dalam pada itu, mangsa yang terperangkap di dalam hotel terpaksa menyorok dalam pejabat dan juga tandas bagi mengelak ditembak penyerang, operasi keselamatan selama 19 jam akhirnya berjaya mengawal keadaan.
Sementara itu, Presiden Uhuru Kenyatta berkata, kepungan berakhir dengan lima penyerang berjaya 'dihapuskan'.
Beliau turut berjanji, kesemua mereka yang terlibat menaja, merancang dan menjalankan serangan terbabit akan ditangkap.- BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!