Kontrak niaga hadapan emas ditutup tanpa diniagakan
KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tidak diniagakan hari ini berikutan kekurangan minat, menjejaki aliran penurunan di pasaran emas Bursa Komoditi New York (COMEX).
Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Tan Kien Kiong berkata, harga emas di COMEX susut melebihi satu peratus kepada mencecah paras terendah dalam tempoh dua minggu berikutan kejatuhan harga minyak mentah yang mendorong penjualan panik bagi aset selamat.
“Keadaan ini telah mendorong pelabur untuk menjual logam berharga itu bagi menampung kerugian harga minyak mentah.
“Emas dijangka diniagakan dalam mod berhati-hati berikutan penurunan mendadak di pasaran minyak mentah yang dijangka berlanjutan sehingga penawaran dan permintaan minyak mentah adalah seimbang antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, pengukuhan dolar AS telah memberi kesan kepada emas apabila pelabur beralih kepada bon AS sekali lagi.
“Sekiranya minyak terus merosot, impak deflasi akan menjadikan emas kurang menarik kerana emas dan minyak mempunyai hubungan erat kerana kedua-duanya adalah aset dalam denominasi dolar AS,” kata Innes.
Satu lagi kaitan penting antara emas dan minyak adalah inflasi.
Sekiranya harga minyak mentah meningkat, inflasi akan turut meningkat dan emas pula dikenali sebagai lindung nilai baik terhadap inflasi.
Pada penutup, bulan semerta April 2020, Mei 2020, Jun 2020 dan Julai 2020 masing-masing kekal pada RM230, RM230, RM230.20 dan RM230.25 segram.
Jumlah dagangan kekal sifar, manakala kepentingan terbuka sebanyak 126 kontrak.
Pada 5 petang, harga emas fizikal bagaimanapun naik RM2.91 kepada RM231.01 segram berbanding RM228.10 segram pada Isnin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!