Tidak terburu-buru tarik balik sekatan: PM Thailand

Prayuth Chan o-cha
Prayuth Chan o-cha
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata, kerajaannya tidak akan terburu-buru menarik balik larangan dan sekatan koronavirus (Covid-19) kerana kesihatan dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan negara.

Memandangkan situasi Covid-19 di Thailand bertambah baik dengan jumlah kes baharu yang rendah, Prayuth berkata, Kabinet akan membincangkan dan memutuskan sama ada untuk melanjutkan perintah darurat yang dijadual berakhir pada 30 April serta larangan dan sekatan lain yang dikenakan untuk membendung pandemik Covid-19, minggu depan.

Beliau berkata, pihak berkuasa berkaitan akan membuat keputusan berdasarkan faktor utama tertentu termasuk kerjasama rakyat dan isu kesihatan.

“Situasi kini semakin baik dengan jumlah kes harian baharu yang rendah. Bagaimanapun, kita harus memantau situasi dengan teliti. Kita tidak harus terburu-buru (untuk menarik balik langkah-langkah yang dikenakan) tetapi tetap berhati-hati.

“Keputusan untuk menarik balik larangan dan sekatan tidak akan dibuat di bawah tekanan. Perkara paling penting adalah menilai situasi dan mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan. Jika kita terburu-buru untuk menarik semula sekatan, wabak akan kembali. Usaha yang kita lakukan untuk mengekang penularan rantaian Covid-19 sebelum ini akan gagal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan di sini hari ini.

Hari ini Thailand melaporkan 19 kes baharu Covid-19 dan seorang meninggal dunia, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 2,811 dengan 48 kematian.

Seorang pemandu teksi warganegara Thailand berusia 50 tahun adalah mangsa kematian terbaharu yang dilaporkan, selepas sifar kematian dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Setakat ini 2,108 pesakit telah pulih dan discaj dari hospital manakala 655 masih dirawat.

Artikel Berkaitan:

Mengenai peruncit dan pengendali perniagaan yang diminta untuk beroperasi semula, Prayuth berkata pengendali yang berkaitan akan mengusulkan pelan operasi mereka termasuk pemeriksaan suhu dan jarakan sosial.

“Jika tidak bersedia, penutupan (perniagaan) akan dilanjutkan,” katanya.

Prayuth juga membangkitkan kebimbangannya berhubung jumlah individu yang melanggar perintah berkurung bermula 10 malam hingga 4 pagi di seluruh negara itu.

Semalam, 672 orang melanggar perintah itu termasuk 65 perhimpunan membabitkan kumpulan yang besar.

Sementara itu, Prayuth menafikan meminta ‘sumbangan wang’ daripada 20 individu terkaya di negara itu bagi membantu menangani kejatuhan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Beliau mengulangi surat yang dihantar kepada 20 individu terkaya itu adalah untuk mendapatkan saranan dan cadangan untuk membantu pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

“Surat itu dengan jelas menyatakan kerajaan tidak menerima sumbangan tunai,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand akan meningkatkan pemeriksaan di pusat kemudahan pekerja asing susulan peningkatan kes COVID-19 di asrama pekerja asing di Singapura.

“Terdapat kira-kira 3 juta pekerja asing di negara ini. Sukarelawan pekerja asing akan membantu meningkatkan kesedaran dan menyebarkan maklumat untuk membendung penularan COVID-19 di Thailand,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!