Lebih 700,000 rakyat Sabah lulus permohonan BPN

Pembayaran dijangka melibatkan 341,229 ketua isi rumah B40 dengan anggaran peruntukan RM545,966,400 yang menyaksikan masing-masing menerima bantuan sebanyak RM1,600. Foto: 123RF
Pembayaran dijangka melibatkan 341,229 ketua isi rumah B40 dengan anggaran peruntukan RM545,966,400 yang menyaksikan masing-masing menerima bantuan sebanyak RM1,600. Foto: 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Sejumlah 737,797 rakyat Sabah telah mendapat kelulusan bagi permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM864,098,700, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 6.5 juta penerima yang layak di seluruh negara.

“Ini tidak termasuk mereka yang baharu mendaftar. Pendaftaran baharu akan ditapis kelayakan mereka dan ditentukan selepas tempoh pendaftaran berakhir pada 30 April,” katanya selepas mendengar taklimat ringkas berkaitan perkara itu daripada Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Sabah, Datuk Hajam Lajah Alam di sini hari ini.

Setakat ini, Abdul Rahim berkata, pembayaran BPN di Sabah dijangka melibatkan 341,229 ketua isi rumah B40 dengan anggaran peruntukan RM545,966,400 yang menyaksikan masing-masing menerima bantuan sebanyak RM1,600.

Selain itu katanya, sejumlah 314,451 individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah akan menerima bantuan RM800 melibatkan peruntukan sebanyak RM251,560,800.

Bagi kumpulan M40, Abdul Rahim berkata, sejumlah 51,026 ketua isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000 di Sabah akan menerima bantuan RM1,000 melibatkan peruntukan sebanyak RM51,026,000 manakala 31,091 individu bujang dalam golongan itu di negeri ini menerima RM500 dengan peruntukan RM15,545,500.

Beliau berkata, setakat 17 April, sejumlah 6.5 juta orang telah menerima BPN fasa pertama di seluruh negara dengan jumlah peruntukan yang sudah dibayar sebanyak RM4.8 bilion.

Katanya, bantuan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada rakyat Malaysia yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Tidak banyak negara yang mampu melaksanakannya dan ini (dilaksanakan) kerana kerajaan Malaysia mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakannya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!