Bisnes musim wabak, janganlah ambil kesempatan waktu kesempitan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK tercetusnya wabak Covid-19, Merak Jalanan tidak nafikan banyak perniagaan terjejas disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan, rakyat Malaysia banyak berbelanja untuk makanan dengan kenaikan 27 peratus daripada purata berbelanjaan isi rumah.

Tetapi PKP pada masa sama menyebabkan rakyat Malaysia mengurangkan perbelanjaan barangan lain baik pakaian, perabot, automotif mahupun pelancongan.

Namun, pada musim wabak ini, Merak Jalanan lihat ada juga usahawan bidan terjun atau peniaga yang beralih produk jualan.

Manakan tidak, dua produk yang tiba-tiba mendapat permintaan sejak Mac lalu ialah sanitizer dan topeng muka.

Maka tidak hairanlah, ketika farmasi kehabisan stok sanitizer berjenama, tiba-tiba muncul pelbagai jenis sanitizer di pasaran. Ada yang menggunakan jenama tersendiri, ada juga sekadar botol comel.

Merak Jalanan memuji semangat keusahawanan para peniaga itu, cuma Merak Jalanan berharap isi kandungan sanitizer di dalam botol kecil itu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Tidak sedap juga membaca kegusaran ramai apabila ada dakwaan sesetengah produk sanitizer dicampurkan dengan air.

Artikel Berkaitan:

Selain sanitizer, sejak beberapa minggu lalu meriah dalam media sosial mengenai pelbagai jenis topeng muka kreatif hasil rekaan sendiri.

Ada yang direka dengan fabrik warna-warni dan ada juga dengan potongan rekaan unik.

Namun persoalannya, sejauh mana peniaga topeng muka tahu tahap keselamatan dan keberkesanan topeng muka yang dijual mereka?

Apatah lagi sekiranya ada peniaga yang mendakwa topeng muka mereka boleh kalis segala macam benda, tetapi gagal menepati spesifikasi selepas dicuba.

Lebih menakutkan bila mendengar harga sehelai topeng muka itu yang berpuluh-puluh ringgit harganya.

Apa pun, kuasa membeli tetap di tangan pengguna, tepuk dada tanyalah selera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!