Remaja maut ketika memancing
KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas pengsan dan terjatuh ke sungai ketika memancing di Kampung Pauh Panji di sini semalam.
Mangsa Nik Adam Syamrie Ab Rashid, 18, ditemui penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 6.50 petang.
Rakannya, Raja Mohd Hakim Raja Anuar Adam, 17, berkata, dia tiba lebih awal di sungai yang terletak tidak jauh dari rumahnya itu pada jam 3 petang untuk memancing manakala Nik Adam Syamrie datang kira-kira jam 4.30 petang.
"Ketika kami sedang memancing di tepi sungai dan berbual-bual, tiba-tiba dia pengsan sebelum terjatuh ke dalam sungai.
“Saya cuba untuk mengangkatnya tetapi tidak berjaya. Saya kemudiannya mendapatkan bantuan penduduk kampung untuk membawanya ke darat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas dan sebelum itu Nik Adam Syamrie tidak ada mengadu sakit atau menunjukkan apa-apa perubahan.
“Penduduk kampung membantu menghubungi talian kecemasan sebelum ambulans dari Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM) sampai ke lokasi tidak lama kemudian.
“Pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan bagaimanapun memberitahu bahawa Nik Adam Syamrie sudah meninggal dunia,” katanya.
Dalam pada itu, ahli keluarga Nik Adam Syamrie yang dimaklumkan berhubung kejadian itu turut bergegas ke lokasi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati tidak ada kesan-kesan pergelutan dan hanya luka di bahagian dagu dipercayai akibat terjatuh di tepi sungai yang merupakan permukaan benteng simen.
“Dalam pemerhatian lanjut, mendapati tidak ada kesan jenayah bagaimanapun mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!