PRN Melaka: Bekas ketua menteri buat ‘come back’, cuba nasib DUN Sungai Udang

MELAKA - Seorang bekas Ketua Menteri Melaka dikhabarkan bakal bertanding atas tiket PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sumber memaklumkan, pemimpin berkenaan dijangka mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari, Jumaat ini bagi memuktamadkan perkara itu.
Menurut sumber itu, dikatakan bekas pemimpin berkenaan mahu bertanding di DUN Sungai Udang selepas PH belum menemukan calon yang sesuai bertanding kerusi tersebut.
“Mungkin juga ada calon yang mahukan kerusi itu tapi pimpinan PH mahukan orang yang mempunyai pengaruh dan nama lebih besar.
“Sekiranya ia terjadi, bekas ketua menteri itu bakal berdepan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Melaka,” katanya.
Untuk rekod DUN Sungai Udang disandang Dr Mohd Aleef Yusof dari Perikatan Nasional (PN) selepas memenangi kerusi itu pada PRN 2021 dengan majoriti 530 undi.
Mohd Aleef menewaskan tiga pencabar lain dengan memperoleh 6,789 undi, diikuti calon BN, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan 6,259 undi, calon PH, Hasmorni Tamby (2,035 undi) dan calon Bebas, Mohd Zahar Hashim (471 undi).
Sebelum Mohd Aleef, kerusi itu disandang Datuk Seri Idris Haron daripada BN dengan majoriti 2,229 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

