Negara berdepan cabaran pastikan kelestarian alam selepas PKP
PUTRAJAYA - Negara berdepan dengan cabaran dalam memastikan kelestarian alam sekitar selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Bumi berkata, sepanjang tempoh PKP kualiti alam sekitar khususnya udara dan air serta sungai bertambah baik.
"Cabaran utama ialah selepas PKP kita mesti terus menjaga alam sekitar kerana ia adalah tanggungjawab bersama," katanya.
Menurutnya, negara akan memainkan peranan penting dalam memastikan cabaran yang bakal timbul daripada kesan perubahan iklim melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif.
"Contohnya, pengukuhan tadbir urus, penguatkuasaan, pembangunan kerangka undang-undang, semakan semula dasar dan membangunkan pelan tindakan yang bersesuaian," katanya.
Beliau berkata, walaupun sambutan secara besar-besaran tidak dapat dilaksanakan tahun ini ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) namun ia tetap dilaksanakan untuk menzahirkan hasrat kita secara kolektif untuk menghargai bumi.
"Pihak kementerian telah menyusun beberapa program dan aktiviti dalam media sosial antaranya webinar khas Hari Bumi, ceramah Cakna Alam, diskusi perubahan iklim, penganjuran pertandingan poster dan video kreatif serta tayangan filem eko di Klefflix," katanya.
Tuan Ibrahim berkata, seluruh lapisan masyarakat disaran terus prihatin terhadap kepentingan memulihara dan melestarikan alam sekitar.
"Akhir sekali, saya mewakili seluruh warga kementerian mengucapkan selamat Hari Bumi kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Sambutan Hari Bumi dirai setiap 22 April dan mula diperkenalkan sejak tahun 1970 sebagai usaha manusia sejagat untuk menghargai bumi, menyemai rasa tanggungjawab dan meningkatkan kesedaran untuk melindunginya.
Sambutan Hari Bumi pada tahun ini bertemakan 'Tindakan Menangani Perubahan Iklim' atau 'Climate Action'.
Objektifnya adalah menggerakkan usaha global bagi mengurangkan impak perubahan iklim akibat daripada aktiviti manusia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!