Penuntut wanita ditemukan maut di blok asrama universiti

GEORGE TOWN - Seorang penuntut perempuan sebuah universiti maut di blok asrama institut pengajian tinggi itu di Jalan Bukit Gambir, Gelugor di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak polis telah menerima panggilan telefon daripada pihak universiti pada 8.40 pagi, memaklumkan penemuan mayat penuntut universiti berumur 21 tahun yang menetap di asrama tersebut.
"Mayat penuntut perempuan itu pada 7.25 oleh petugas kebersihan universiti tersebut dalam keadaan terlentang di bawah blok asrama dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati, tiada terkesan sebarang unsur jenayah dan pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan luaran,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) dibuka untuk menjalankan siasatan terhadap kes itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
