Jururawat ditahan tunggang motosikal secara melulu
GEORGETOWN - Gara-gara menunggang motosikal berkuasa tinggi secara melulu dan membahayakan di Jambatan Pulau Pinang, Jumaat lalu, seorang jururawat hospital swasta ditahan polis di rumahnya semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di kediamannya di Padang Tembak di sini pada jam 5.50 petang semalam.
Menurutnya, tindakan itu diketahui polis selepas menerima e-mel daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan kelajuan maksima.
"Daripada maklumat tersebut, lelaki berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu pada jam 1.30 petang, 17 April lalu.
"Kita menerima maklumat mengenai perkara itu melalui satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook. Rakaman itu menunjukkan lelaki tersebut menunggang motosikal berkuasa tinggi menyeberangi Jambatan Pulau Pinang dalam tempoh 2 minit 10 saat," katanya.
Soffian berkata, polis turut menerima satu rakaman video dari 'dash cam' yang menunjukkan lelaki tersebut menunggang motosikal dengan kelajuan maksima sehingga melebihi 300 kilometer sejam.
"Dia juga didapati menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan iaitu mencelah ke kiri dan ke kanan ketika memotong," katanya.
Beliau berkata, lelaki tersebut ditahan dan motosikalnya turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.
"Ujian saringan air kencingnya negatif dan dia diberi jaminan dengan seorang penjamin. Lelaki itu akan dituduh di mahkamah pada 7 Mei ini.
"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!