Pasangan pertama nikah guna tatacara baharu di Perak
IPOH - Jururawat dan jurugambar perkahwinan menjadi pasangan pertama dinikahkan menerusi tatacara baharu diperkenalkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Majlis pernikahan antara Muhammad Razif Mohd Nasir, 28, dan Fatin Nabilah Hussain, 28, disempurnakan dengan sekali lafaz oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh, Asyraf Ismail di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di sini kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Bapa pengantin perempuan, Hussain Harun,57, menjadi wali pernikahan berkenaan dan disaksikan dua kakitangan PAID Ipoh.
Muhammad Razif berkata, persetujuan untuk bernikah hari ini dibuat kerana tidak mahu lagi menangguhkan perkahwinan yang sepatutnya dilangsungkan 3 April lalu.
"Tambahan pula kita tak tahu bila tempoh PKP ini akan berakhir, jadi bila Pejabat Agama hubungi kami dan beri kebenaran untuk bernikah, saya dan isteri terus bersetuju," katanya.
Muhammad Razif dari Kajang Selangor tiba di Ipoh petang semalam seorang diri menaiki kereta dengan membawa bersama surat kebenaran nikah dan kelulusan pihak polis.
Katanya, walaupun pernikahan ini berlangsung bukan sepertimana kebiasaan, dia dan isteri tetap gembira dan syukur kerana ia berjalan lancar.
"Oleh kerana kita masih dalam tempoh PKP, ibu bapa dan ahli keluarga saya tidak hadir bersama, tetapi doa dan sokongan mereka tetap ada mengiringi majlis hari ini," katanya.
Fatin Nabilah yang bertugas di bahagian kecemasan Hospital Pantai Manjung merupakan antara petugas barisan hadapan dan terlibat dalam pemeriksaan saringan koronavirus (Covid-19).
"Saya dan suami akan menetap di Seri Manjung kerana perlu kembali bertugas pada Jumaat ini," katanya.
Turut hadir menyaksikan majlis itu, Exco Agama dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.
Mohd Yusop berkata, terdapat lebih 300 pasangan di Perak telah menerima kelulusan untuk bernikah sebelum PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.
"Mana-mana yang sudah memohon untuk berkahwin dan diluluskan, mereka hanya perlu ikut tatacara baharu yang ditetapkan ini. Kita akan hubungi dan maklumkan untuk mereka hadir pada hari-hari yang tertentu.
"Di Ipoh terdapat 64 pasangan telah mendapat kelulusan bernikah, namun hanya 40 pasangan bersetuju untuk dinikahkan pada tempoh PKP ini sementara bakinya mahu menangguhkan majlis," katanya.
Beliau berkata, tatacara sama akan dijalankan di semua PAID seluruh negeri ini sebanyak tiga sesi sehari masing-masing selama 30 minit pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
"Ini prosedur yang JAIPk perkenalkan bagi memudahkan pernikahan dapat dilangsungkan dalam tempoh PKP dari segi kawalan dan pergerakan, ia sudah mendapat kelulusan daripada Pejabat Kesihatan dan polis," katanya.
Sekurang-kurangnya 50 pasangan berjaya dinikahkan hari ini di PAID seluruh negeri.
Pada 16 April lalu, JAIPk mengeluarkan Tatacara Khas Majlis Akad Nikah (TKMAN) baharu yang mana hanya boleh dihadiri oleh seorang jurunikah, dua saksi, seorang pengantin lelaki, seorang pengantin perempuan dan seorang wali dari pihak pengantin perempuan, dilangsungkan di PAID.
Tiada berjabat tangan ketika lafaz ijab dan qabul, upacara lain seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin dan bergambar juga tidak dibenarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!