Isteri antara ditahan bantu siasatan kes bunuh suami
KUALA SELANGOR - Lima individu termasuk seorang wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki berusia 55 tahun yang ditemui dalam bilik air rumahnya di Taman Makmur di sini 10 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, wanita berusia 46 tahun yang juga isteri mangsa ditahan bersama empat lagi individu berusia 16 hingga 29 tahun yang berada di rumah berkenaan.
Menurutnya, kejadian jam 8.30 malam itu berlaku apabila isteri mangsa menghubungi Balai Polis Tanjong Karang Karang memaklumkan suaminya tidak sedarkan diri kerana jatuh di bilik air.
"Siasatan dijalankan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia berikutan terdapat beberapa kesan melecur yang teruk di beberapa bahagian tubuh dipercayai disimbah dengan air panas," katanya menerusi kenyataan medianya hari ini.
Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati motif pembunuhan disebabkan masalah keluarga.
"Semua individu direman selama 12 hari sejak 11 April lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!