Terengganu peruntuk RM115,800 bantuan makanan ikan

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM115,800 untuk bantuan makanan ikan air tawar melibatkan 557 penternak berdaftar di seluruh negeri.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu diambil kerajaan bagi membantu golongan yang terkesan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kerajaan negeri sedia maklum bebanan yang ditanggung penternak ikan samada penternak sangkar atau kolam ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini disebabkan ruang pasaran yang terlalu terhad.

"Dalam masa yang sama penternak perlu menanggung kos makanan ikan setiap hari sehingga ramai dalam kalangan merek mengadu telah kehabisan modal pusingan.

"Kerajaan memutuskan untuk membantu seramai 577 penternak ikan air payau dan ikan air tawar yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Terengganu di semua daerah untuk menerima sumbangan bentuk bantuan makanan ikan berjumlah RM200 seorang melibatkan kos keseluruhan RM115,800," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan itu akan diagihkan segera secara berperingkat.

"Kita harap dengan bantuan yang sedikit ini dapat membantu meringankan bebanan ditanggung mereka.

"Sama-samalah kita berdoa semoga wabak ini segera berakhir agar kehidupan ini dapat diteruskan seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!