Jojo lunas dendam terhadap Paez

PETARUNG Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar melunaskan dendam terhadap Diego Paez apabila menewaskan petarung Colombia-Amerika Syarikat itu menerusi keputusan sebulat suara juri dalam pertarungan ulangan flyweight pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan Johan atau Jojo membalas kekalahan kepada Paez dalam pertemuan pertama mereka pada Jun tahun lalu, sekali gus memberikan kelegaan buat petarung berusia 19 tahun itu.
Keputusan terbaru itu menyaksikan Jojo kini merekodkan sembilan kemenangan dan lima kekalahan di petas ONE Championship.
Jojo memulakan pertarungan dengan agak perlahan, namun kelihatan lebih menguasai aksi pada pusingan pertama menerusi serangan yang dilancarkannya.
Paez meningkatkan tekanan pada pusingan kedua dengan pergerakan lebih pantas berbanding pusingan sebelumnya, namun Jojo tetap memberikan saingan sebelum lebih berhati-hati menjelang penghujung pusingan itu.
Memasuki pusingan ketiga, Jojo kelihatan keletihan tetapi masih cuba mengasak menerusi beberapa kombinasi serangan.
Bagaimanapun, Paez berjaya menyerap asakan itu, manakala beberapa tendangan Jojo gagal memberikan impak yang diharapkan.
Paez kemudian kelihatan lebih bertenaga pada minit terakhir apabila beberapa serangannya tepat mengenai sasaran, sekali gus memberikan tekanan kepada Jojo sebelum pertarungan berakhir.
Selepas tamat tiga pusingan, ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepada Jojo menerusi keputusan sebulat suara, sekali gus membolehkannya menebus kekalahan terdahulu kepada Paez.
Kemenangan itu menjadi suntikan penting buat Jojo untuk mengembalikan momentum dalam ONE Championship, selain mengukuhkan kedudukannya dalam kategori flyweight Muay Thai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
