Rumah usang Pak Ishak dirobohkan

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah rumah usang yang menjadi tempat berteduh warga emas, Ishak Darus, 77, bersama 27 ahli keluarganya sejak berpuluh tahun lalu di Lorong Gedebang, Jalan Langgar di sini dirobohkan hari ini.

Setiausaha Masjid Al-Irfan Derga, Yahya Saad berkata, kerja gotong-royong merobohkan dan membersihkan kawasan persekitaran rumah berkenaan bermula jam 9.20 pagi mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, Masjid Al-Irfan Derga, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), tuan tanah dan penduduk kampung.

"Operasi merobohkan dan membersihkan rumput di kawasan rumah berkenaan menggunakan jentolak mengambil masa agak lama memandangkan keadaan tanah yang lecak dan tidak rata susulan hujan lebat semalam.

"Bagaimanapun, kerja berkenaan berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak termasuklah keluarga Pak Ishak yang sudi berpindah ke rumah baharu di Taman Uda di sini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui tadi.

Kerja merobohkan rumah lama Pak Ishak menggunakan jentolak di Lorong Gedebang, di sini hari ini.
Kerja merobohkan rumah lama Pak Ishak menggunakan jentolak di Lorong Gedebang, di sini hari ini.

Yahya berkata, pihaknya berterima kasih atas bantuan semua pihak yang membantu keluarga Pak Ishak dan berharap mereka dapat memulakan semula kehidupan yang lebih baik, selesa dan selamat di rumah baharu.

Katanya, pihak masjid tidak akan lepas tangan dan tetap akan membantu Pak Ishak sekeluarga, walaupun kini keluarga itu telah berpindah ke kawasan kariah lain sejak beberapa hari lepas.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Saya akan bayarkan sewa selagi hidup: Ebit Lew

'Mereka penerima bantuan, pernah ditawarkan rumah'

Sementara itu, tuan tanah, Siti Akhil Che Mat, 49, tampil memberikan penjelasan atas tuduhan netizen yang mendakwa dia tidak mempedulikan keluarga terbabit.

Jelasnya, dia sememangnya prihatin dan simpati atas kesusahan hidup dilalui 28 beranak di tanah miliknya itu, sekali gus sentiasa menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka.

"Selain bantuan lain, saya juga cuba membantu mencari dan telah membayar kos untuk mereka tinggal di rumah baharu yang lebih selesa bagi meneruskan hidup, namun mereka kemudiannya mengubah fikiran," katanya.

Keadaan rumah lama Pak Ishak di Lorong Gedebang di sini sebelum dirobohkan.
Keadaan rumah lama Pak Ishak di Lorong Gedebang di sini sebelum dirobohkan.

Sebelum ini, tular usaha penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew membantu keluarga warga emas pesakit strok di sebuah rumah usang di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, di sini.

Dalam pertemuan itu, beliau turut berjanji akan mencari rumah baharu dan membayar sewa untuk membantu Pak Ishak sekeluarga sebelum menemui sebuah kediaman dengan lima bilik di Taman Uda, di sini sebagai tempat tinggal baharu keluarga itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman memaklumkan usaha memujuk Pak Ishak sekeluarga telah dilakukan sejak 12 tahun lepas namun gagal, sekali gus menghargai usaha Ustaz Ebit Lew berhasil memujuk keluarga itu keluar dari kediaman itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!