Gara-gara makan ayam di belakang rumah
SELAYANG - Gara-gara makan ayam di belakang sebuah rumah, lapan lelaki termasuk seorang warga emas masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kesemua Orang Kena Saman (OKS) itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, kesemua OKS terbabit, Md Zain Ahmad,63, Mohd Nurfitri Abdul Aziz,37, Shajaruddin Misbahul Munir,36, Shawalludin Misbahul Munir Mohd Nor,40, Roslan Dahalan,49, Mohamad Nur Othman,33, Muhamad Zairi Abu Bakar, 48 dan Muhamad Hanif Abdul Manap, 35, didakwa berada di bahagian belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Kertas Batu Caves Selangor pada jam 6 petang pada 19 April lalu.
Mereka didakwa dengan sengaja berhimpun dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan bagi maksud sosial tanpa sebarang alasan munasabah yang menghendaki anda berada dalam rumah melalui Warta P UA [A] 117 di bawah peraturan-peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah) Di Dalam Kawasan Tempatan (jangkitan) (No 3) 2020 yang berkuatkuasa mulai 15 April hingga 28 April ini.
Oleh yang demikian, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan boleh dihukum bawah Peraturan 11(1) Peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara selama tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap semua OKS.
Bagaimanapun, peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua OKS memohon hukuman denda minimum kerana mereka telah menyesal atas perbuatan itu.
“Kelapan-lapan OKS ini ditangkap semasa mereka sedang makan di tempat tersebut dan mereka memohon maaf dan insaf dengan kesalahan itu,” katanya.
Terdahulu, prosiding hari ini bermula sekitar jam 10.30 pagi berikutan mahkamah terbabit menjalani proses sanitasi awam nyahkuman yang dijalankan pihak Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak.
Proses sanitasi itu bermula sekitar jam 9.15 pagi yang mengambil masa hampir sejam.
Selesai proses sanitasi, pihak pengawal keselamatan mahkamah membenarkan orang awam masuk ke perkarangan mahkamah dan prosiding mahkamah berjalan seperti biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!