Tak pasti bayaran utiliti naik, penduduk belum terima bil
JOHOR BAHRU - Tindakan segelintir pengguna laman sosial yang mendakwa bil utiliti elektrik dan air rumah mereka meningkat secara mendadak terus meninggalkan tanda tanya.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan perumahan sederhana dalam kawasan Bandar Baru Uda dan Larkin juga tidak menemui jawapan kerana rata-rata penduduknya masih belum menerima bil bulanan.
Pengusaha kedai runcit di Larkin, Kamisan Umar, 66, berkata, buat masa ini dia masih tidak melihat berlakunya sebarang kenaikan tinggi seperti didakwa.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sedikit perubahan mengenai bayaran bil penggunaan air yang mana dilihat sedikit tinggi berbanding kebiasaannya.
“Saya dah berniaga di sini lebih 10 tahun rasanya dan kalau ada peningkatan itu saya tidak boleh nak pastikan sangat cuma perasan bil air memang nampak ada sedikit beza.
“Saya nak cakap lebih pun tidak berani sebab kadang-kadang ada terlepas bayar sebab berniaga ini kita bukan selalu untung,” katanya kepada Sinar Harian.
Penduduk Taman Larkin Perdana, Nazri Junan, 57, berkata, dia belum mengetahui tentang dakwaan kenaikan bil air dan elektrik kerana masih belum menerima bil untuk bulan ini.
Namun, menurutnya, sejak bulan lalu dia turut menyedari jumlah peningkatan bayaran bil di rumah keduanya di Setia Tropika.
“Saya duduk di sini waktu anak sekolah sahaja. Biasanya Khamis sampai Sabtu saya duduk di Setia Tropika. Di sini saya tidak perasan sangat cuma dekat sana memang ada kenaikan sikit.
“Pelik juga, macam bulan lepas bayaran bil air saya menjengah lebih daripada RM20, biasa dalam belas sahaja. Tunggakan pun tiada. Apa-apa pun saya tunggu bil dulu kalau nak buat laporan,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian ketika menghubungi pengurusan Tenaga Nasional Berhad Johor turut gagal mendapatkan penjelasan yang secukupnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!