Permintaan telur meningkat, makin ramai buat kuih
KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memberi jaminan bekalan telur di negeri ini mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengguna berhubung kekurangan bekalan telur terutama pada PKP fasa pertama dan kedua yang lalu, tetapi perkara itu sudah pun dapat diselesaikan ketika ini.
“Sebenarnya, penggunaan telur meningkat tinggi berbanding sebelum pelaksanaan PKP berkemungkinan disebabkan rata-rata golongan wanita kerap membuat kuih.
“Pihak kami bagaimanapun memantau bekalan telur dengan mengenalpasti kedai-kedai runcit yang terputus bekalan dan meminta pemborong supaya menghantar bekalan itu dengan segera ke kawasan terlibat dan dijamin telur ada di pasaran sepanjang puasa,” katanya kepada pemberita selepas Pemantauan dan Pemeriksaan Barang Keperluan oleh KPDNHEP Kelantan di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Beliau berkata, telur juga termasuk dalam senarai 26 barangan keperluan asas yang dipantau harga dan jumlah bekalan oleh pihaknya selain memastikan barangan mentah seperti ayam, minyak masak, tepung gandum dan gula tidak terputus bekalan.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sepanjang penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang ingkar.
“Sepanjang PKP, sebanyak 26 kes direkodkan iaitu tujuh kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011; sembilan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan masing-masing dua bagi Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Pelindungan Pengguna 1999.
“Tujuh kes dikompaun berjumlah RM6,100 dan peniaga dinasihatkan supaya tidak mengambil untung berlebihan serta menjalankan perniagaan yang beretika seperti ditetapkan kerajaan bagi mengelak tindakan perundangan dikenakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!