Sembilan menara tinjau dibina di kawasan PKPD keenam

Penduduk di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei depan. - Foto Bernama
Penduduk di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei depan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina sembilan menara tinjau di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang di sini yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, pembinaan menara tinjau di kawasan PKPD keenam itu dibuat khusus untuk memantau serta mengawasi pergerakan penduduk setempat di kawasan itu.

"Ini merupakan inisiatif ATM agar anggota lebih mudah melaksanakan tugas memantau sebarang percubaan individu luar untuk masuk ke dalam kawasan PKPD," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pembinaan menara tinjau hanya dibuat di kawasan PKPD keenam sahaja.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki dipercayai warga asing ditahan ketika cuba melarikan diri daripada kawasan Pasar Borong Selayang di sini yang berada di bawah PKPD.

Pemandu teksi yang berada di kawasan itu mendakwa ada warga asing cuba melarikan diri dari kawasan itu sejak semalam malah mereka dengan berani memotong kawat berduri yang dipasang untuk keluar.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan untuk meletakkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang dalam status PKPD.

Ismail Sabri berkata, keputusan untuk melaksanakan arahan PKPD keenam tersebut dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan melibatkan lapan parcel yang telah dikenal pasti seperti berikut:

Artikel Berkaitan:

Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

Parcel B: Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

Parcel D: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur

Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur

Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur

Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

Pasar Borong Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Pasar Borong Selayang tidak dikenakan PKPD, cuma kawasan sekitarnya sahaja dikenakan PKPD. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!