Zakat fitrah Negeri Sembilan kekal RM7
SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan kadar zakat fitrah di Negeri Sembilan tahun ini kekal RM7.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun dengan mengambil kira situasi masyarakat Islam yang berdepan waktu sukar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah bayaran zakat fitrah yang wajib ditunaikan bergantung kepada kemampuan pembayar atau ketua keluarga.
“Perkara itu diputuskan dengan persetujuan Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
“Contohnya Encik Abu sebagai ketua keluarga yang mempunyai seorang isteri dan lima tanggungan hanya mampu tunaikan zakat fitrah untuk tiga orang saja.
“Maka kewajipan zakat buatnya ialah sebanyak RM21 sahaja dengan mengambil kira kadar zakat fitrah ditetapkan RM7 seorang,” katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini hari ini.
Menurutnya, kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditetapkan pula adalah secara dalam talian sepenuhnya.
Beliau berkata, bayaran zakat fitrah secara qada atau ganti juga dibenarkan setelah tempoh PKP berakhir jika ada yang masih gagal menjelaskan tanggungjawab berkenaan setelah berusaha sedaya upaya.
“Oleh itu tiada pelantikan amil zakat fitrah dalam kalangan amil kampung bagi tahun ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!