Kutipan zakat fitrah menerusi 919 amil MAIWP diteruskan

Zulkifli (dua dari kiri) membuat gimik pelancaran bayaran zakat fitrah secara dalam talian dalam majlis berlangsung di Majid Salahuddin Al-Ayubi di sini hari ini.
Zulkifli (dua dari kiri) membuat gimik pelancaran bayaran zakat fitrah secara dalam talian dalam majlis berlangsung di Majid Salahuddin Al-Ayubi di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan meneruskan kutipan zakat fitrah pada tahun ini menerusi 919 amil yang dilantik.

Menerusi satu kenyataan, Unit Komunikasi Korporat MAIWP berkata, bagaimanapun, lokasi bagi setiap amil terlibat membuat kutipan adalah tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan arahan dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya, amil-amil berkenaan juga akan dibekalkan dengan QR Code SnapNPay bagi membolehkan transaksi tanpa tunai dibuat secara terus.

"MAIWP menggalakkan amil dilantik untuk mencari cara yang kreatif bagi menghebahkan QR code masing-masing.

"MAIWP kini sedang mempertimbangkan kaedah bayaran secara pandu lalu (drive-thru) di masjid-masjid tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, MAIWP memperkenalkan dua kadar bayaran zakat fitrah di Wilayah Persekutuan pada tahun ini iaitu RM5 dan RM7.

Kadar ini ditetapkan bertujuan bagi meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan terutamanya dalam situasi semasa ekoran penularan koronavirus (Covid-19).

Dalam perkembangan sama, MAIWP berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berkesempatan melancarkan Kempen Pembayaran Zakat Fitrah Secara Dalam Talian dalam satu majlis di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah itu diperkenalkan bagi memudahkan umat Islam di Wilayah Persekutuan menunaikan kewajipan tersebut terutamanya ketika PKP sedang dikuatkuasakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!