Padah hantar kek, tayar waktu malam
KUALA TERENGGANU - Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman empat hari penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memberi alasan keluar rumah waktu malam mahu menghantar kek dan tayar dalam kejadian berasingan semalam.
Tertuduh, Mohd Syafiq Al Hanif Mohd Zamri,22, dari Jalan Kelantan, di sini mengaku bersalah bergerak di tepi Jalan Sekolah Menengah Sultan Ahmad, Chabang Tiga di sini, jam 11.15 malam pada 21 April lalu.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu kerana hendak menghantar kek ke rumah tunangnya di sekitar lokasi berkenaan.
Sementara itu tertuduh kedua, Mohd Johari Mat Hassan,36, pula, mengaku melakukan kesalahan itu dengan bergerak untuk menghantar tayar kepada kawannya di tepi Jalan Sekolah Kebangsaan Kesom, Manir di sini jam 11.30 malam pada 21 April.
Dengan itu, mereka mengaku salah atas pertuduhan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Fariz Irwan Mustafa dan Mohd Asaari Salleh.
Terdahulu, Ka Full memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana menganggap alasan diberi mereka tidak munasabah.
"Bagi tertuduh yang memberi alasan hendak menghantar kek ke rumah tunangnya, meskipun jarak lokasi dia bergerak hanya dalam empat kilometer (km) sahaja, tetapi waktu dipilih langsung tidak logik.
"Dia masih boleh tangguhkan dulu dan tunggu pada waktu siang keesokan harinya, tetapi masih juga hendak 'paksa' diri untuk keluar rumah pada waktu malam yang memang tidak dibenarkan sepanjang tempoh ini," katanya.
Mahkamah juga mengarahkan hukuman penjara bermula pada tarikh mereka ditangkap iaitu pada 21 April lalu dan sekiranya gagal menjelaskan denda, mereka diarah menjalani hukuman penjara sebulan lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!