Hampir seluruh kawasan risiko Covid-19 di Pahang disanitasi
KUANTAN - Hampir keseluruhan kawasan berisiko wabak Covid-19 di Pahang sudah dilakukan sanitasi atau nyahkuman bagi memastikan bebas sepenuhnya wabak koronavirus (Covid-19).
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Zahar Abdullah berkata, sehingga kini lebih 300 operasi nyahkuman telah dilakukan secara berperingkat di beberapa lokasi dikategorikan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 di seluruh negeri.
Menurutnya, operasi sanitasi berulang dilakukan di kawasan tumpuan dan premis kerajaan termasuk dua daerah dikategori zon merah iaitu Kuantan dan Jerantut serta Pekan yang dikategori zon jingga.
"Walaupun operasi itu sudah selesai, namun kita akan terus melakukan operasi sanitasi untuk pusingan seterusnya seperti yang diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kawasan terbabit bebas sepenuhnya virus Covid-19.
"Seramai 1,000 pegawai dan anggota JBPM Pahang semua peringkat menerusi kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat dalam operasi sanitasi dijalankan," katanya.
Beliau berkata, operasi sanitasi yang dilakukan mengikut garis panduan, pengawasan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Pihaknya menggunakan khidmat seramai 50 hingga 60 anggota untuk melakukan operasi berkenaan setiap hari.
"Operasi terbabit tidak dilakukan pada siang hari, sebaliknya pada waktu malam," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan kejayaan operasi sanitasi yang dilakukan sepanjang PKP.
"Kelmarin, pihak kita telah melakukan operasi sanitasi di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, di sini yang menjadi pintu masuk pelancong tempatan dan luar negara melalui pengangkutan udara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!