Harga jualan Bernas kepada pemborong tidak berubah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Harga jualan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada pemborong adalah kekal dan tidak berubah untuk beras putih tempatan dan beras import sejak beberapa tahun lalu.

Menurut satu kenyataan, walaupun harga beras di pasaran dunia telah meningkat berikutan wabak koronavirus (Covid-19), namun Bernas tetap komited untuk memantau serta memastikan harga pasaran beras kekal stabil serta berpatutan.

"Sebarang lebihan harga kos atau operasi akan dibiayai oleh Bernas sendiri," jelas kenyataan itu hari ini.

Bernas berkata demikian sebagai merujuk laporan sebuah portal berita dalam talian berhubung dakwaan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengenai aduan Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM).

PPBMM dan ahlinya yang terlibat dalam bidang pemborongan beras mengatakan mereka kini semakin tertekan dengan kenaikan harga borong beras.

Bagaimanapun, Bernas menjelaskan, kenyataan MTEM bahawa syarikat itu diberikan subsidi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) memonopoli beras import adalah sangat tidak berasas.

"Bernas terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri padi dan beras serta menjalankan obligasi sosial negara," katanya.

Bernas turut memberi jaminan untuk memelihara kestabilan harga dan memastikan bekalan beras mencukupi terutama ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Seperti yang dinyatakan oleh MOA serta kementerian lain yang berkaitan, keadaan keselamatan dan bekalan makanan negara adalah terkawal," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!