Pasangan 'frontliner' pengantin pertama nikah online di NS
SEREMBAN - Majlis akad nikah yang berlangsung secara dalam talian bakal menjadi kenangan termanis buat petugas barisan harapan, Muhammad Noorfahmi Mohd Latib, 29, dan pasangannya Syahida Syatirah Abdul Hadi, 28, yang selamat diijab kabul hari ini.
Majlis yang julung kali diadakan itu menyaksikan lafaz nikah tanpa keberadaan pengantin perempuan di sisi, seperti kelaziman dan mereka menjadi pasangan pertama di Negeri Sembilan berbuat demikian.
Berlangsung menerusi sidang video di Auditorium Gemilang, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Muhammad Norfahmi yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di HTJS sah bergelar suami kepada Syahida Syatirah, juga Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Kajang dengan tiga kali lafaz.
Ini berikutan masalah teknikal yang dihadapi ketika proses akad nikah berlangsung di dua tempat berbeza iaitu di HTJS manakala Syahida Syatirah yang berwalikan bapanya Abdul Hadi Husin berada di kediaman keluarga di Kajang, Selangor, dengan disaksikan oleh jurunikah dari pejabat agama Islam Selangor, Ayob Baharudin.
Muhammad Norfarhan ketika ditemui pemberita berkata, beliau sangat bersyukur majlis berkenaan berjalan lancar walaupun terdapat gangguan internet namun sedikit terkesan tanpa kehadiran keluarganya yang berada di Bagan Datoh, Perak.
"Sepatutnya pernikahan saya adalah pada 21 Mac lepas dan sekarang sudah 22 April, dan ia sudah hampir sebulan. Saya berasa bersyukur walaupun ada sedikit masalah gangguan internet, namun akhirnya sudah selesai dan dipermudahkan.
"Bagaimanapun, saya sedikit hiba kerana keluarga di Bagan Datoh, Perak, tiada bersama saya ketika majlis susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, alhamdulillah, staf di sini menganggap saya seperti keluarga sendiri dan mereka sangat membantu saya dalam menguruskan majlis akad nikah secara dalam talian ini," katanya sambil menahan sebak.
Beliau berkata proses membenarkan akad nikah menerusi sidang video adalah langkah baik bagi membantu pasangan yang ingin bernikah dengan permohonan boleh dibuat secara dalam talian dan perlu mendapat kelulusan daripada pejabat agama daerah.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!