MAIM sediakan RM5 juta peruntukan khas untuk asnaf
MELAKA TENGAH - Sebanyak RM5 juta peruntukan khas disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk disalurkan kepada golongan asnaf di negeri ini sebagai bantuan menyambut Ramadan dan Syawal.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM3,771,600 adalah bantuan Ramadan dan Syawal manakala RM200,000 bagi program Ihya Ramadan dan RM562,500 bagi upah amil.
"Selain itu, MAIM juga menyediakan peruntukan fidyah sebanyak RM402,550 untuk 8,051 penerima kurang berkemampuan dengan setiap seorang akan menerima RM50 selain RM4,451,426 kutipan zakat fitrah pada tahun lalu digunakan untuk membantu golongan asnaf pada tahun ini," katanya.
Sulamian berkata demikan selepas Majlis Penyerahan 'Food Bank' dan Penyerahan Dana Irsyad Wakalah untuk Tabung Musa'adah Covid-19 MAIM, di Pusat Islam Melaka, Bukit Palah, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi MAIM yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan Mufti Negeri, Datuk Abd Halim Tawil.
Sulaiman yang juga Pengerusi MAIM berkata, dalam situasi negara yang masih tidak menentu akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19), Zakat Melaka akan menyediakan mekanisme yang mudah, praktikal dan cepat kepada amil dan pembayar zakat bagi mengelak dan mencegah risiko jangkitan wabak itu.
"Langkah itu antaranya termasuk mengoptimumkan kutipan zakat secara dalam talian, bayaran pandu lalu dan penggunaan kad kredit atau debit.
"Orang ramai boleh membuat bayaran zakat atas talian melalui aplikasi senangPay oleh izakat.com dan QR Pay oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad," katanya.
Semalam, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil sebagai berkata, MAIM setuju menetapkan zakat fitrah pada kadar RM7 dan RM14 tahun ini berdasarkan jenis beras yang dimakan di rumah masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!