Bekas ADUN Rembia meninggal dunia
ALOR GAJAH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Hamdin Abdollah meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira jam 3 petang tadi.
Berita itu disahkan anak perempuannya, Maya Rosana Hamdin menerusi satu hantaran di akaun Facebook beliau.
Hamidi, 73, yang juga bekas ahli Exco negeri dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia pada Pilihan Raya Umum 1995 dan 1999 sebelum berpindah ke DUN Durian Tunggal pada 2004.
Allahyarham pernah menjadi Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam Melaka serta Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah itu juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Melaka.
Difahamkan Allahyarham yang mengalami sakit jantung, paru-paru dan buah pinggang sejak beberapa tahun lalu meninggalkan isteri, Datin Noraini Saleh, tiga anak dan 10 cucu.
Jenazah akan dibawa ke kediamannya di Seri Bayu, Alor Gajah sebelum dikebumikan malam ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!